Republik Czech perketat sempadan susuli serangan di Vienna
Polis Czech menyatakan bahawa pihaknya sudah mula melancarkan pemeriksaan rambang di sempadan negara itu dengan Austria menyusuli serangan yang berlaku berdekatan dengan sebuah rumah ibadat orang Yahudi di Vienna.

(Gambar: AFP/GEORG HOCHMUTH)
PRAGUE: Polis Czech menyatakan bahawa pihaknya sudah mula melancarkan pemeriksaan rambang di sempadan negara itu dengan Austria menyusuli serangan yang berlaku berdekatan dengan sebuah rumah ibadat orang Yahudi di Vienna yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan beberapa yang lain cedera.
"Polis sedang menjalankan pemeriksaan rambang ke atas kenderaan dan penumpang di sempadan Austria sebagai langkah berjaga-jaga menyusuli serangan pengganas di Vienna," menurut polis Czech dalam catatannya di Twitter.
Pihak polis menambah bahawa pihaknya sudah mempertingkatkan "pengawasan di kemudahan utama orang Yahudi di Republik Czech" dan langkah pencegahan itu "mencerminkan perkembangan bukan sahaja di negara jiran Austria".
Menteri Dalam Negeri Republik Czech Jan Hamacek berkata dalam satu catatan di Twitter bahawa polis Czech juga sudah menghubungi rakan-rakan kerja mereka di Austria menyusuli "berita buruk dari Vienna".
Perdana Menteri Republik Czech Andrej Babis menyampaikan ucapan takziah atas serangan yang berlaku dekat rumah ibadat Yahudi di Stadttempel.
"Saya terkejut dengan serangan yang dilancarkan ke atas rumah ibadat orang Yahudi di Vienna dan seluruh rakyat negara ini berdiri teguh dengan rakyat Austria dan rakan saya (Canselor Austria) Sebastian Kurz," menurut Encik Babis dalam kiriman tweetnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.