Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Replika durian gergasi tidak jejas tapak warisan sejarah Melaka

Anggaran Waktu Membaca:

MELAKA: Pengunjung ke Melaka kini disajikan dengan satu lagi tarikan di Banda Hilir iaitu replika durian gergasi yang bersaiz 6.3 meter tinggi.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dr Santhara Kumar berkata replika itu adalah salah satu usaha Tourism Malaysia untuk menarik kehadiran pengunjung di kawasan berkenaan di samping mempromosikan raja buah tersebut kepada pelancong asing.

"Bagaimanapun kehadiran replika durian gergasi ini tidak sama sekali menjejaskan tapak warisan sejarah ini memandangkan ia diperbuat daripada fiber dan tiada kerja-kerja cerucuk dilakukan.

"Kita faham dan sensitif dengan perkara ini dan beri jaminan replika tersebut tidak menganggu dan hanya diletakkan untuk seketika," katanya kepada media selepas hadir ke program Magical Melaka Food and Fruit Fest 2022 di Banda Hilir pada Sabtu (6 Ogos).

Sementara itu, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Muhammad Jailani Khamis berkata kehadiran replika durian gergasi di hadapan Galeri Warisan Kota Melaka adalah mengikut ketetapan peraturan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Ia tidak menjejaskan apa pun kerana tiada struktur kekal serta kerja menanam cerucuk dilakukan. Ia akan kekal selagi mana ia bertahan. Bagi mereka yang menimbulkan isu, boleh semak peraturan UNESCO," katanya.

Dalam pada itu program Magical Melaka Food and Fruit Fest 2022 menawarkan 12 jenis makanan dan minuman pengenalan negeri ini kepada pengunjung bermula semalam hingga 10 malam ini.

Bertempat di Pusat Penerangan Pelancongan Jalan Kota, antara juadah yang ditawarkan adalah Cendol Kampung Hulu, Coconut Shake Batu Berendam dan Kuih Keria Antarabangsa yang dibuka dengan kerjasama Melaka Restaurant and Cafe Owner (MRCO).

Selain juadah kuih dan minuman, produk berasaskan durian turut diketengahkan menerusi pelancaran Malaysia International Durian and Cultural Festival.

Sumber : Bernama/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan