Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Replika Al-Quran 'gergasi' di Thailand terus tarik pengunjung

Anggaran Waktu Membaca:
YALA: Replika al-Quran 'gergasi' bertulisan ayat Al-Israa yang terletak di Kampung Pak Pungoh, di Thailand, terus menjadi tumpuan orang ramai sejak ia tular di media sosial pada bulan Ramadan lalu.

Pencetus idea pembinaannya, Imam Mat Rokey Wan Kechik, 57 tahun, berkata beliau sendiri tidak menyangka replika setinggi 3.6 meter dan lebar 5.2 meter itu bakal menjadi popular dan tidak putus-putus menerima kunjungan pelawat. 

Beliau berkata sehingga kini lebih 100,000 orang sudah berkunjung ke kampung itu dan melahirkan rasa kagum mereka selepas melihat serta mengambil kesempatan bergambar di hadapan replika berkenaan.

“Ada pengunjung yang datang dari Arab Saudi, Singapura, Brunei, Indonesia dan tidak terkecuali dari Malaysia.

“Setiap hari dianggarkan 10,000 pengunjung dari dalam dan luar negara datang ke sini, ia masih berterusan hingga kini,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung itu pada Sabtu (6 Mei).


Encik Mat Rokey berkata kos bagi membina replika itu hanya kira-kira 6,000 baht (S$235) dan mengambil masa 22 hari untuk disiapkan, manakala lapan hari lagi bagi menghasilkan tulisan khat ayat al-Quran itu.

Katanya kerja-kerja pembinaannya dilakukan oleh 30 pemuda kampung secara bergotong-royong iaitu pada sebelah malam selepas solat terawih.

“Sebelum ini semua kampung di kawasan ini membuat pintu gerbang sebagai tradisi menyambut Hari Raya Aidilfitri, tetapi saya inginkan kelainan dan memberi idea untuk membina replika al Quran yang dibuat menggunakan batu, simen serta papan lapis.

"Alhamdulillah, idea ini diterima penduduk dan tidak disangka ia tular di seluruh dunia," katanya yang turut bersyukur kerana tempias pembinaan replika itu turut dirasai penduduk setempat.

Menurutnya bagi melengkapkan lagi kehadiran replika al-Quran itu, penduduk turut membina replika Gua Hira’ dan Bukit Uhud sebagai mengenang pengorbanan Nabi Muhamad SAW dalam mengembangkan Islam.

Sementara itu, Penghulu Kampung Pak Pungoh, Tolib Mustofa, 59 tahun, berkata kedatangan pengunjung ke kampung itu membawa rezeki kepada penduduk yang mengambil kesempatan berniaga makanan dan minuman.

Katanya setiap hari ada sahaja pengunjung yang datang terutama dari Malaysia yang ingin merakamkan gambar kenangan.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan