Renjer Australia cucuk mata buaya untuk selamatkan diri
Seorang renjer hidupan liar Australia nyaris maut dibaham buaya selepas beliau ‘bergusti’ dengan reptilia itu dan mencucuk matanya ketika ia cuba mengheret mangsa ke dalam air.
Buaya air garam, biasa ditemui di bahagian utara Australia, boleh tumbuh sehingga 7 meter dengan berat badan lebih satu tan. (Gambar: GREG WOOD/AFP)
CAIRNS: Seorang renjer hidupan liar Australia nyaris maut dibaham buaya selepas beliau ‘bergusti’ dengan reptilia itu dan mencucuk matanya ketika ia cuba mengheret mangsa ke dalam air.
Craig Dickmann pergi memancing di kawasan terpencil di Australia Utara, negeri yang diberi jolokan ‘negeri buaya’, pada Jumaat (15 Nov).
Menurut beliau, semasa hendak beredar dari pantai itu, tiba-tiba seekor buaya sepanjang 2.8 meter datang dari belakang dan menerkamnya.
“Semasa saya pusing untuk meninggalkan tempat itu, perkara pertama saya lihat adalah reptilia itu menerkam saya,” beliau memberitahu wartawan ketika terlantar di katil hospital dekat bandar Cairns, Queensland.
Dickman berkata reptilia itu menerkam pahanya dulu.
“Bunyi cengkaman mulut buaya itu akan selamanya menghantui saya,” ujarnya.
Renjer berusia 54 tahun itu menambah beliau bergelut dengan buaya itu di pantai terpencil sedang ia cuba untuk menariknya ke dalam air.
Beliau kemudian betindak untuk mencucuk ibu jarinya ke mata buaya tersebut sambil menyatakan bahawa ia adalah satu-satunya kawasan lembut yang ditemui pada haiwan bersifat ‘kalis peluru’ itu.
Selang beberapa minit, Dickman berkata beliau berjaya memanjat ke atas badan buaya tersebut dan menutup ketat rahangnya.
Beliau kemudian menolak reptilia itu jauh daripadanya dan ia meluncur semula ke dalam air.
Renjer tersebut mengalami kulit koyak di bahagian tangan dan kakinya akibat pergelutan dengan buaya berkenaan. Namun, beliau sempat memandu pulang ke rumah, yang mengambil masa lebih 45 minit, sebelum menghubungi perkhidmatan kecemasan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.