Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Remaja Turki ini rakam 'detik terakhir' terperangkap bawah runtuhan apartmennya

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja Turki ini rakam 'detik terakhir' terperangkap bawah runtuhan apartmennya

(Gambar: AP/Mehmet Mucahit Ceylan)

Diterbitkan : 18 Feb 2023 11:26PM Dikemas Kini : 18 Feb 2023 11:27PM
ADIYAMAN: Seorang remaja berusia 17 tahun menyentuh hati ramai warga Turki selepas dia merakam mesej perpisahan yang menyayat hati buat orang-orang tersayang selepas dia terperangkap di bawah runtuhan bangunan kediamannya akibat gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu pada minggu lalu.

Taha Erdem dan keluarganya sedang tidur apabila gemba bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter menggegarkan kediamannya di bandar Adiyaman pada awal pagi 6 Februari lalu.

Taha terjaga daripada tidurnya selepas dikejutkan oleh gegaran kuat yang menggoncang bangunan apartmennya setinggi empat tingkat di bahagian tengah bandar Anatolia.

Dalam masa 10 saat saja, Taha, ibu dan bapanya serta adik perempuan dan adik lelakinya terhumban ke bawah runtuhan bangunan tersebut.

Dia mendapati dirinya sendirian dan terperangkap di bawah runtuhan, dengan gelombang gempa susulan yang kuat mengalihkan serpihan, sehingga menyebabkannya tersepit antara serpihan-serpihan konkrit dan keluli yang bengkok.

Taha kemudian mengeluarkan telefon bimbitnya lalu merakam mesej terakhirnya, dengan harapan rakaman tersebut akan ditemui selepas pemergiannya.

"Saya rasa inilah video terakhir yang saya rakam untuk anda," katanya dalam ruang yang sempit itu, sedang dia menggenggam telefon bimbitnya di kawasan bangunan yang runtuh itu.

Memperlihatkan daya tahan dan keberanian yang luar biasa bagi seorang remaja yang percaya seolah-olah dia sedang menyampaikan kata-kata terakhirnya, dia sempat menyenaraikan kecederaan yang dialaminya sambil berkongsi perkara-perkara yang dikesalinya dan harapannya jika dia terselamat.

Remaja itu kemudian memberitahu bahawa dia percaya keluarganya sudah meninggal dunia, bersama dengan sebilangan besar penduduk lain di bandar tersebut.

Dia turut menyatakan bahawa dia akan menyusul tidak lama lagi.

Taha bagaimanapun adalah antara penduduk yang berjaya diselamatkan daripada runtuhan bangunan tersebut.

Dia ditarik keluar daripada runtuhan tersebut dua jam kemudian oleh jiran-jirannya dan dibawa ke rumah ibu saudaranya.

Sepuluh jam selepas gempa bumi tersebut, ibu bapa serta adik-beradiknya juga diselamatkan oleh para penduduk tempatan, yang menggali runtuhan bangunan tersebut menggunakan tangan dan apa sahaja yang berada di sekeliling mereka.

Keluarga tersebut kini tinggal di khemah yang disediakan pemerintah, bersama dengan beratus-ratus ribu mangsa lain yang terselamat daripada bencana alam yang melanda selatan Turki dan utara Syria, yang sejauh ini meragut nyawa lebih 43,000 orang.
Sumber : AP/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan