Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Remaja terselamat tragedi rempuhan Itaewon disyaki bunuh diri

Anggaran Waktu Membaca:

SEOUL: Seorang remaja yang terselamat daripada rempuhan maut di kawasan Itaewon di Seoul ditemui meninggal dunia dengan kematiannya itu disifatkan sebagai kes bunuh diri, menurut polis pada Rabu (14 Dis). 

Polis menemui pelajar sekolah menengah itu dalam keadaan sudah meninggal dunia di sebuah penginapan di barat Seoul pada pukul 11.40 malam Isnin (12 Dis) menyusuli aduan ibu mangsa 30 minit sebelum itu yang melaporkan anak lelakinya sudah hilang, menurut agensi berita Yonhap yang menukil para pegawai. 

Tiada surat bunuh diri ditemui di tempat kejadian, dengan pihak polis turut mendedahkan bahawa tiada tanda-tanda perbuatan khianat. 

"Dia disyaki meragut nyawanya sendiri. Tiada bedah siasat akan dijalankan atas permintaan keluarga mangsa," kata seorang pegawai polis. 

Dapatan awal menunjukkan bahawa pelajar itu adalah salah seorang mangsa rempuhan yang meragut nyawa 158 orang sewaktu sambutan Halloween pada 29 Oktober. 

Pelajar itu kehilangan dua rakan akibat insiden tersebut setelah mengunjungi kawasan itu bersama mereka pada malam kejadian dan menerima rawatan perubatan untuk merawat kecederaannya. 

Polis sedang menyiasat kematiannya untuk mengenal pasti puncanya. 

Pegawai pendidikan Seoul dan keluarga pelajar itu menyatakan, dia menerima kaunseling psikologi di sebuah hospital dan di sekolahnya untuk mengatasi trauma akibat kejadian tersebut. 

"Kaunselor itu berkata dia sedang beransur pulih, sedikit demi sedikit," kata seorang pak cik di tempat persemadian yang dibangunkan untuk pelajar itu. 

Laporan pemeriksaan terakhir untuk kaunseling psikologi itu dijadual dikeluarkan pada Rabu. 

Keluarga mendiang berkata, dia pada awalnya pengsan sewaktu insiden itu, tetapi kemudian sedar diri setelah beberapa orang memercik air pada mukanya. 

Selepas insiden tersebut, pelajar itu mengalami keadaan yang mengancam nyawanya, tetapi berjaya mengatasinya menerusi rawatan perubatan, lapor Yonhap.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan