Skip to main content

Dunia

Remaja tembak mati datuk & nenek sebelum lepaskan 26 das tembakan di sekolah Thailand

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja tembak mati datuk & nenek sebelum lepaskan 26 das tembakan di sekolah Thailand

Reaksi pelajar-pelajar dengan saudaranya selepas diselamatkan dari Sekolah Debsirin Nonthaburi di pinggir Bangkok, Thailand, 7 Ogos 2026. (Gambar: Reuters/Chalinee Thirasupa)

Diterbitkan : 07 Aug 2026 05:22PM
BANGKOK: Penyerang dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di Thailand menembak mati datuk dan neneknya di rumah mereka pada Jumaat (7 Ogos), sebelum melepaskan tembakan di sebuah sekolah di pinggir Bangkok, menurut polis.

Menurut kenyataan polis, lelaki bersenjata itu, yang merupakan seorang pelajar, melepaskan 26 das tembakan dan 34 butir peluru lagi ditemui di tempat kejadian.

Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh sebelum penyerang itu menembak mati dirinya sendiri.

APA YANG DIKETAHUI

Remaja berusia 14 tahun itu menembak mati datuk dan neneknya di rumah mereka sebelum menuju ke Sekolah Debsirin Nonthaburi, di mana dia membunuh pelajar dan guru.

Dia melepaskan sekurang-kurangnya 26 das tembakan menggunakan sepucuk pistol milik datuknya. Polis turut menemukan 34 butir peluru lagi di lokasi kejadian.

Setakat ini, tiada motif diberikan. Sekurang-kurangnya 15 orang cedera.

KAWALAN SENJATA DIPERKETAT SELEPAS INSIDEN TEMBAKAN 2023

Thailand memperketat kawalan senjata api selepas seorang remaja berusia 14 tahun menggunakan pistol yang diubah suai untuk membunuh dua orang dan mencederakan lima lagi di sebuah pusat beli-belah mewah di Bangkok pada 2023.

Menteri Dalam Negeri ketika itu, Encik Anutin Charnvirakul, mengarahkan beberapa langkah termasuk menghentikan sementara pengeluaran lesen senjata baharu, mengenakan sekatan import dan melarang individu berusia bawah 20 tahun menggunakan lapangan menembak.

Langkah jangka panjang termasuk mewajibkan pemilik senjata mendapatkan sijil perubatan bagi menilai kesihatan mental dan psikologi mereka, selain menetapkan tempoh sah bagi sesetengah lesen senjata.

Thailand dianggarkan mempunyai 10.3 juta senjata api yang dimiliki orang awam, iaitu sama dengan sekitar 15 senjata bagi setiap 100 penduduk, kadar tertinggi di Asia Tenggara menurut anggaran Small Arms Survey pada 2017.

Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul menyifatkan insiden berkenaan sebagai "dahsyat".

"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Bagaimana perkara ini boleh berlaku di negara kita?" katanya.

SUASANA CEMAS, HURU-HARA

Puluhan anggota polis dan pasukan penyelamat berkumpul di luar Sekolah Debsirin Nonthaburi di wilayah Nonthaburi, sementara ibu bapa bergegas mengambil anak masing-masing.

Pelajar dan kakitangan sekolah yang menangis turut dilihat saling memberi sokongan di luar sekolah.
Related article image
Sisa peluru di lantai bangunan tempat kejadian tembakan di Sekolah Debsirin Nonthaburi.
Related article image
Tanda forensik kesan peluru di bahagian bawah tiang di Sekolah Debsirin Nonthaburi.
Related article image
Barang-barang yang ditinggalkan oleh pelajar yang diselamatkan di sebelah tembok dengan tanda peluru di Sekolah Debsirin Nonthaburi, di daerah Bang Kruai di wilayah Nonthaburi di pinggir Bangkok, Thailand, 7 Ogos 2026. (Gambar: Reuters/Chalinee Thirasupa)
Related article image
Pemandangan rumah datuk nenek suspek penembak di Bang Bua Thong, di wilayah Nonthaburi, barat laut Bangkok. (Gambar: Thanayut Kampakul)
Related article image
INSIDEN LALU

Pada Februari lalu, polis menembak dan memberkas seorang remaja selepas dia melepaskan tembakan di sebuah sekolah di selatan Thailand, mengorbankan pengetua dan mencederakan dua pelajar.

Pihak berkuasa berkata remaja itu menikam seorang anggota polis sebelum merampas pistol 9mm miliknya dan melakukan serangan tersebut.

Ketua polis tempatan berkata remaja tersebut sebelum ini pernah menerima rawatan psikiatri sebelum dibenarkan keluar.

Pada 2022, seorang bekas anggota polis bersenjatakan pistol dan pisau menyerbu sebuah pusat jagaan kanak-kanak di utara Thailand, mengorbankan 24 kanak-kanak dan 12 orang dewasa.

"BAGAIMANA INI BOLEH BERLAKU DI NEGARA KITA?"

Gambar-gambar yang diterbitkan oleh media tempatan menunjukkan suspek memakai pakaian seragam sekolah ungu dan membawa beg silang badan hitam, dengan beberapa kelongsong peluru kelihatan di atas tanah.

"Ini satu kejadian yang sangat dahsyat. Ia sepatutnya tidak pernah berlaku. Bagaimana ini boleh berlaku di negara kita?" Perdana Menteri Anutin Charnvirakul memberitahu wartawan di Rumah Kerajaan Bangkok.

Ibu bapa menunggu berita mengenai anak-anak mereka di tempat kejadian tembakan di sekolah di daerah Bang Kruai, wilayah Nonthaburi, utara ibu kota Thailand, Bangkok, pada 7 Ogos 2026. (Gambar: AFP)

"SAYA TAKUT SAYA AKAN MATI"

"Saya takut saya akan mati dan saya takut tidak dapat mengejar impian saya," kata pelajar Tingkatan 6, Cik Pawarisa Maylissa, yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

"Saya mendengar bunyi tembakan yang sangat kuat kerana penyerang dipercayai berada di tingkat betul-betul di atas kami. Saya juga boleh mendengar peluru jatuh ke lantai."
Sumber : Reuters/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita