Remaja perempuan maut dibaham jerung di Perth, Australia

(Gambar: Muhammad Farooq/AFP)
SYDNEY: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun maut selepas dibaham ikan jerung di sebatang sungai di ibu negara Australia Barat, Perth, pada Sabtu (4 Feb). Ia berlaku selepas gadis itu terjun ke dalam air untuk berenang bersama sekumpulan ikan lumba-lumba.
Polis menyatakan pihaknya dipanggil ke tempat kejadian kira-kira pukul 3.45 petang semalam, berhampiran jambatan trafik di sungai Swan River, di kawasan pelabuhan Fremantle di Perth, lapor Reuters.
Remaja itu ditarik keluar dari sungai dalam keadaan cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, menurut polis dalam satu kenyataan.
Polis percaya mangsa berada bersama rakan-rakannya dan terjun dari sebuah luncur jet untuk berenang bersama sekumpulan ikan lumba-lumba di sungai itu ketika serangan jerung tersebut berlaku.
Pihak berkuasa bagaimanapun tidak pasti jenis jerung yang menyerang remaja tersebut, lapor penyiar awam Australia, ABC.
Kali terakhir serangan jerung yang membawa maut berlaku di perairan Australia Barat adalah pada November 2021 apabila seorang lelaki berusia 57 tahun dibaham oleh ikan jerung putih di Pantai Pelabuhan Perth.
Lebih 100 spesies jerung hidup di perairan Australia Barat - wilayah terbesar di negara tersebut, dengan kelibat ikan-ikan jerung sering dilihat beberapa kilometer dari hulu sungai.
Risiko serangan jerung di wilayah tersebut adalah rendah, menurut kerajaan negeri, yang menubuhkan sebuah unit tindak balas jerung khas bagi bekerjasama dengan penggerak balas pertama berhubung insiden melibatkan ikan jerung.
Di pantai timur, beberapa pantai di Sydney, termasuk Bondi dan Bronte yang terkenal, ditutup pada Februari lalu selepas seorang perenang maut diserang ikan jerung. Ia adalah kematian pertama seumpama itu di pantai bandar tersebut dalam hampir 60 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.