Skip to main content

Dunia

Remaja perempuan Jepun jadi teman 'dibayar' kian berleluasa

Jepun mesti berusaha lebih gigih untuk menghentikan masalah penderaan kanak-kanak, terutama anak-anak gadis yang dieksploitasi dan bekerja di kafe hiburan di serata negara itu, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada Al Jazeera.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja perempuan Jepun jadi teman 'dibayar' kian berleluasa

Pelajar perempuan Jepun. (Gambar hiasa: AFP/NICHOLAS KAMM)

Diterbitkan : 01 Jan 2016 11:15PM Dikemas Kini : 02 Jan 2016 04:03AM

TOKYO: Jepun mesti berusaha lebih gigih untuk menghentikan masalah penderaan kanak-kanak, terutama anak-anak gadis yang dieksploitasi dan bekerja di kafe hiburan di serata negara itu, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada Al Jazeera.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran meningkatnya jumlah kes eksploitasi sedemikian yang dilaporkan di Jepun tahun ini, berbanding 2014.

Pada Oktober lalu, pegawai khas PBB mengenai pelacuran kanak-kanak dan pornografi, Maud de Boer-Buquicchio, membangkitkan kemarahan pemerintah Jepun.

"13% MURID PEREMPUAN JEPUN JADI TEMAN SOSIAL BERBAYAR"

Ini apabila beliau berkata, sehingga 13 peratus murid perempuan di negara itu menyertai 'Enjo Kosai', atau teman sosial berbayar.

Beliau berkata, ia bukan perangkaan rasmi, dan tidak akan disertakan dalam laporan muktamadnya. Namun, Al Jazeera melaporkan, para aktivis berhujah, tiada perangkaan rasmi satu petanda bahawa pihak berkuasa mengambil ringan hal itu.

Di Tokyo, budaya seks kanak-kanak kini diterima, dan kumpulan-kumpulan pejuang hak asasi Jepun sedang berkempen untuk menghentikan gejala tersebut.

Seorang pelajar, Mai, bekerja separuh masa di sebuah 'joshi kosei', atau kafe remaja perempuan di daerah Akihabara di Tokyo, yang mengenakan bayaran bagi lelaki dewasa duduk berbual-bual dengan remaja perempuan.

SESETENGAH PELANGGAN "SETUA DATUK SAYA"

"Sesetengah lelaki itu setua datuk saya, dan kadangkala saya tidak tahu apa lagi yang hendak diperbualkan dengan mereka," kata Mai, yang mengenakan pakaian seragam sekolahnya, kepada Al Jazeera.

Mai berkata, bekerja di kafe seperti itu lebih baik daripada pekerjaannya sebelum ini di sebuah restoran, dan menambah, para pelanggan kafe tersebut memberikannya layanan yang baik.

Di kafe tersebut, majikannya memilih kakitangan remaja perempuan berusia 15 hingga 18 tahun.

PEKERJA "HARUS CANTIK, BERGAYA"

"Mereka haruslah cantik. Itu satu kemestian. Mereka harus tampak langsing, dan bergaya. Mereka juga harus bijak," kata pemilik kafe itu, Koichiro Fukuyama kepada Al Jazeera.

Namun, Encik Fukuyama berkata, kafenya tidak terbabit dalam sebarang kegiatan pelacuran.

Jurucakap kumpulan hak asasi wanita Lighthouse, Shihoko Fujiwara, memberitahu Al Jazeera, budaya menggambarkan gejala itu sebagai sesuatu yang glamor, membimbangkan.

"Konsep Enjo Kosai sudah wujud mungkin selama 20 tahun. Tapi, kita masih belum ada perangkaan rasmi mengenainya. Bagi saya, ini sesuatu yang mengejutkan," katanya.

Di Jepun, memiliki gambar-gambar penderaan kanak-kanak hanya diharamkan pada 2014 - namun gambaran kartun perbuatan sedemikian tidak dilarang. 

Sumber : Agensi berita/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita