Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Remaja M'sia reda koleksi K-pop dibakar bapa; rakaman tular di media sosial, undang kecaman netizen

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Sejak beberapa hari kebelakangan ini, rakaman video seorang pelajar sekolah menangis apabila koleksi K-pop miliknya dibakar oleh bapa menjadi perdebatan di media sosial.

Dalam video yang dikongsikan ibu kepada pelajar tingkatan dua itu, dapat dilihat remaja terbabit menangis sambil melihat koleksinya yang hangus terbakar disamping mengambil beberapa koleksinya yang masih selamat dari dimamah api, seperti dinukil daripada MStar.

Video yang dikongsikan semula ke laman Twitter itu menuai pelbagai komen negatif dengan mengecam tindakan ibu bapanya yang begitu ‘kasar’ dengan minat anak.

Walau bagaimanapun, menerusi laporan dari Mstar, pelajar berkenaan yang dikenali sebagai Tasha menjelaskan hal sebenar dari apa yang ditonton di media sosial.

Menurutnya, video berkenaan diambil oleh ibunya dan beliau mengakui perkongsian terbabit hanya suka-suka bersama ibu dimana beliau meluahkan kenangan pahit dialaminya itu.

Jelasnya, bapanya memang seorang yang alim dan tidak berapa suka dengan hiburan seperti K-pop. Tasha juga reda dengan apa yang berlaku serta memaklumkan beliau tidaklah terlalu taksub dengan K-pop.

“Ayah jenis yang boleh dikatakan alim orangnya. Jadi beliau tidak suka hiburan atau jenis macam ni (K-pop). Saya reda dengan apa yang jadi sebab tidak mahu bersedih lama-lama.

“Selama ni pun saya minat (K-pop) gitu-gitu je, tak lebih-lebih sangat. Lepas kejadian bakar tu, saya jumpa ayah dan katanya "Tak payah dah Korea-Korea ni,” katanya.

Tambah Tasha, beliau pada awalnya berasa sedih juga kerana membeli semua koleksi tersebut dengan harga yang agak mahal dan diberi oleh rakan namun lama kelamaan beliau reda dengan apa yang sudah berlaku, lapor MStar.

Masa mula-mula dapat tahu memang sedih sebab beli mahal-mahal dan jurnal buat sendiri selain pemberian daripada kawan-kawan. Tapi lama-lama saya reda je,” ujarnya.

Remaja berusia 14 tahun itu menjelaskan bahawa koleksi-koleksi terbabit dibeli menggunakan hasil titik peluhnya sendiri dengan menjual buku warna serta hasil dari lebihan wang sekolah yang ditabunginya.

Walau bagaimanapun, Tasha dan kakaknya yang mempunyai minat sama tidak tunjuk koleksi-koleksi tersebut kepada bapa kerana menghormati orang tuanya.

“Saya dan kakak berusia 16 tahun minat K-pop, tapi kami memang tak tunjuk minat tu pada ayah sebab tahu beliau macam mana dan tetap hormatnya.

“Ayah tahu ada barang-barang ni kerana beliau ternampak saya simpan di satu tempat,” katanya yang juga meminati pelakon Korea Selatan, Park Bo-gum.

Disebabkan video terbabit tular dan menjadi perdebatan ramai, beliau mengatakan terdapat komen-komen yang agak keterlaluan lebih-lebih lagi menyentuh perihal ibu bapanya.

Beliau yang sangat menghargai komen-komen positif diberikan oleh netizen meminta orang ramai tidak salah faham sehingga berkata kurang baik terhadap orang tuanya.

“Saya amat menghargainya. Tapi jangan salah faham tentang yang bakar itu siapa, saya tidak ingin mengaibkan sesiapa.

“Ada yang sampai kata hantar terus mak ayah yang macam ni kat rumah orang-orang tua. Bagi saya ia agak keterlaluan.

“Tapi saya maafkan. Masing-masing ada pendapat mereka,” katanya.

Susulan daripada itu, menerusi TikTok ibu kepada Tasha, beliau sudah memohon maaf andai video terbabit membuka ruang kepada netizen untuk mengecam mereka sekeluarga.

Beliau juga memohon maaf andai ada yang tersinggung dengan perkongsiannya dan turut memaafkan mereka yang menfitnah serta melontarkan tohmahan kepada mereka.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan