Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Remaja M'sia ini curi perhatian warganet; tampil dalam pertandingan tarian singa

Selepas kerap menonton persembahan abang sulungnya dalam tarian singa, minat untuk mencuba mula timbul dalam diri Siti Aishah Mohd Farulnizam, 17 tahun, remaja yang tular di media sosial baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:

GEORGE TOWN: Selepas kerap menonton persembahan abang sulungnya dalam tarian singa, minat untuk mencuba mula timbul dalam diri Siti Aishah Mohd Farulnizam, 17 tahun, remaja yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sacred Heart itu berkata, minatnya untuk mempelajari seni tarian tersebut semakin menebal apabila bapanya, Mohd Farulnizam Mohd Fisah dan ibu, Suzana Dhazak @ Razak serta seluruh keluarga memberi sokongan kepadanya.

Tambahnya, dengan kelebihan berbahasa Mandarin, dia tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan semua ahli persatuan sekali gus memudahkannya memahami dengan lebih cepat semua yang diajar jurulatih Persatuan Kebudayaan dan Sukan Meihu, Loh Woon Sim.

"Masa umur saya enam tahun, saya selalu tengok abang masuk pertandingan tarian singa. Dari situ, timbul minat saya untuk mencuba. Saya minta kebenaran daripada ayah, dia pun bagi, tak ada bantahan."

"Mula-mula risau juga ayah tak benarkan sebab saya perempuan, tetapi alhamdulillah, bukan sahaja ayah, ibu dan keluarga pun sokong. Saya mula daripada umur enam tahun. Mula-mula tu, saya belajar main alat muzik dahulu antaranya gong, gendang dan sebagainya."

"Selepas dah mahir main alat muzik, baru saya belajar tarian (singa). Mula-mula tu gementar juga tetapi lama kelamaan saya semakin seronok," katanya ketika dihubungi agensi berita Sinar Harian baru-baru ini.

Tambahnya lagi, dia berminat dengan tarian singa kerana ia memerlukan disiplin yang tinggi selain satu aktiviti lasak.

"Saya mula sarung pakaian kepala singa pada usia sembilan tahun tetapi ketika itu, hanya belajar sahaja. Tidak berani masuk pertandingan lagi. Umur saya 10 tahun baru berani buat persembahan di hadapan penonton."

"Dengan pengalaman yang saya kumpul dari kecil, saya telah masuk banyak pertandingan termasuk yang tular baru-baru ini. Dalam pertandingan di salah sebuah pusat beli belah yang tular baru-baru ini, kumpulan saya mendapat tempat keempat."

"Ia merupakan pertandingan 1st Southeast Asia Lion Dance Championship- Free Style," tambah anak jati Pulau Pinang itu, dipetik daripada Sinar Harian. 

Baru-baru ini, tular sebuah video di platform TikTok yang memaparkan seorang gadis lengkap bertudung menjadi ‘kepala singa’ ketika membuat persembahan tarian singa dalam sebuah pertandingan.

Diberi tanggungjawab untuk berada di posisi hadapan, gadis itu iaitu Siti Aishah berjaya mencuri tumpuan netizen kerana mampu mengawal setiap langkah tarian walaupun bukan berbangsa Cina.

Selain itu, ketangkasannya menari dengan tarian yang memukau mendapat sorakan meriah daripada penonton yang berada berdekatan dengan lokasi majlis tersebut terutamanya apabila dia ‘melepaskan’ kostum yang dipakai.

Sementara itu, bapa Siti Aishah, Encik Mohd Farulnizam mengakui berbangga apabila melihat keenam-enam anaknya dapat menguasai seni kebudayaan tarian singa itu dan mereka menjadi bukti seni budaya merentasi batasan kaum di negara ini.

Menurutnya, kesemua enam anaknya, Mohammad Firdaus, 19 tahun; Siti Aishah, 17 tahun; Mohd Faiz, 16 tahun; Mohamad Fahmi, 13 tahun; Siti Alya, sembilan tahun, dan Siti Aleesa, tujuh tahun, mahir dengan seni persembahan tarian singa memandangkan mereka merupakan ahli Persatuan Kebudayaan dan Sukan Meihu Pulau Pinang.

"Kesemua anak saya bersekolah di sekolah jenis kebangsaan dan mereka mahir berbahasa Mandarin. Saya hantar anak sulung untuk belajar tarian singa adalah untuk mendisiplinkannya. Tidak sangka pula, minatnya itu diikuti oleh adik-adiknya pula."

Encik Farulnizam yang juga seorang peniaga berkata, dia memilih tarian singa sebagai aktiviti anak-anaknya untuk menjadikan mereka lebih berdisiplin, menukil daripada Sinar Harian.

Sumber : Agensi berita/SS/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan