Skip to main content

Dunia

Remaja Malaysia dihukum penjara seumur hidup di Britain selepas serang 2 rakan guna tukul

Seorang remaja warga Malaysia dihukum penjara seumur hidup di Britain kerana menyerang dua pelajar menggunakan tukul di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
 Remaja Malaysia dihukum penjara seumur hidup di Britain selepas serang 2 rakan guna tukul

(Gambar: Devon and Cornwall Police)

LONDON: Seorang remaja warga Malaysia dihukum penjara seumur hidup di Britain kerana menyerang dua pelajar menggunakan tukul di negara itu.

Menurut laporan akhbar tempatan Daily Mail, Thomas Wei Huang, 17 tahun, bergaduh dengan salah seorang mangsa selepas dia dihina semasa kelas mata pelajaran Sains.

Insiden turut melibatkan ketegangan dengan seorang lagi pelajar perempuan.

Semasa dibicarakan, pihak mahkamah mengesahkan Wei Huang taksub dengan tukul dan pembunuh ganas.

Malah, dia didapati melakukan penyelidikan dalam talian mengenai pembunuhan bersiri dan kaedah membunuh.

Seorang pakar psikologi berkata tindakan Wei Huang boleh dikaitkan dengan keganasan semasa tidur.

Namun, seorang lagi pakar berhujah bahawa Wei Huang mungkin berada dalam keadaan sedar semasa melakukan serangan itu.

Menurut Wei Huang, dia menyimpan tukul di sebelah katilnya untuk melindungi dirinya jika berlaku 'serangan zombi', sambil menambah dirinya menyesali tindakannya itu.

Peguam Wei Huang, Kerim Fuad KC menyifatkan kes itu sebagai tragis dan luar biasa.

Beliau percaya kes berlaku akibat tekanan melampau daripada peperiksaan, isu peribadi dan dakwaan eksploitasi seks.

Menurut laporan berita Sky News, Wei Huang telah menyerang dua remaja lelaki di asrama Sekolah Blondell dekat Tiverton, Devon pada Jun tahun lalu.

Kedua-dua mangsa mengalami keretakan pada tengkorak dan kecederaan pada tulang rusuk, limpa dan paru-paru ekoran kejadian itu.

Seorang lagi mangsa pula tertusuk paru-parunya.

Selain itu, Wei Huang juga menyerang guru yang cuba meleraikan pergaduhan.

Dia berkali-kali memukul guru berkenaan pada bahagian kepala dengan menggunakan tukul.

Hakim Johannah Cutts menegaskan Wei Huang sedar akan kesan akibat daripada tindakannya dan telah terlebih dahulu merancang serangannya.

Cutts juga menekankan bahawa tindakan Wei Huang itu menimbulkan risiko besar jika dia mengulangi tingkah laku yang sama sehingga mengundang tahap bahaya yang tinggi kepada orang ramai.

Wei Huang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan hukuman penjara minimum 12 tahun.

Identiti Wei Huang pada mulanya dirahsiakan daripada orang ramai.

Namun mahkamah membolehkan namanya didedahkan selepas mengambil kira perkembangan kes seumpama itu baru-baru ini.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita