Remaja lelaki Malaysia ditahan kerana cabul kanak-kanak perempuan dalam masjid
Tular di media sosial sejak pagi Jumaat rakaman video dipercayai tindakan seorang lelaki mencabul kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor. (Gambar: Media sosial)
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata pihaknya menerima aduan berkaitan video yang tular di media sosial pada pukul 8.19 pagi Jumaat.
“Susulan itu, lelaki tempatan berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu esok untuk permohonan reman,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu supaya menghubungi balai polis terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60651021.
Sementara itu, Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah menerusi kenyataan media menyifatkan perbuatan itu sebagai biadap dan tidak boleh diterima umat Islam dan seolah-olah menggambarkan masjid sebagai tempat yang tidak selamat.
Beliau berkata pihaknya telah menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan gambar kepada polis untuk siasatan lanjut.
Encik Mohammad Fahmi turut menyeru para pengunjung masjid supaya terus berwaspada dan membuat laporan segera kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian sama.
Awal dari itu, tular di media sosial beberapa video memaparkan seorang lelaki menyelinap masuk ke bahagian ruang solat wanita di sebuah masjid di Batang Kali, Selangor sebelum memeluk seorang kanak-kanak perempuan dan membawanya keluar dari ruang berkenaan.
Lelaki tersebut kemudiannya melarikan diri selepas mangsa melawan perbuatan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.