Skip to main content

Dunia

Remaja lelaki ini pakai telekung untuk curi wang jemaah

Mahkamah Majistret Malaysia pda Jumaat (28 Feb) memerintahkan seorang remaja lelaki yang mencuri di sebuah masjid di Setapak dengan memakai telekung sehingga videonya tular di media sosial, ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja lelaki ini pakai telekung untuk curi wang jemaah

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 29 Feb 2020 10:52AM Dikemas Kini : 29 Feb 2020 10:54AM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Malaysia pda Jumaat (28 Feb) memerintahkan seorang remaja lelaki yang mencuri di sebuah masjid di Setapak dengan memakai telekung sehingga videonya tular di media sosial, ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga berusia 21 tahun.

Muhammad Amierul Talibzan, 19, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.

Remaja itu akan menjalani hukuman berkenaan bermula Jumaat di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka.

Dia didakwa mencuri dua dompet yang masing-masing mempunyai wang RM20 (S$6) dan RM200 (S$66) berserta dokumen peribadi milik dua jemaah wanita di Masjid Ibn Abbas di Jalan Taman Ibu Kota, Setapak pada 4 Jan lalu pada pukul 9.00 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebelum ini, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia masih muda dan berumur hampir 20 tahun.

“Saya bekerja sebagai pembantu kedai dan menanggung keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon hukuman penjara dikenakan ke atas tertuduh kerana kes sebegini semakin berleluasa di Malaysia.

“Faktor kekerapan kes perlu diambil kira kerana pusat ibadat seperti masjid sering dijadikan sasaran kes-kes sebegini. Selain itu, faktor kepentingan awam juga perlu diambil kira kerana kes ini turut dilaporkan dalam akhbar,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, satu rakaman video sepanjang 3 minit 55 saat yang dimuat naik melalui akaun Facebook Masjid Ibn Abbas, tular di media sosial menunjukkan seorang daripada suspek dipercayai lelaki masuk ke dalam masjid berkenaan dan mengambil telekung yang disediakan untuk dipakai bagi mengelakkan identitinya dikenali.

Pada masa yang sama, seorang lagi dipercayai wanita menunggu di luar ruang solat masjid itu.

Suspek lelaki itu kemudian dilihat masuk ke dalam ruang solat wanita dan mencuri barangan di dalam beg tangan jemaah sebelum kedua-dua mereka bergegas keluar meninggalkan kawasan masjid.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita