Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Remaja lelaki Bangladesh ditemui dalam kontena di M'sia mati lemas selepas mandi kolam

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja lelaki Bangladesh ditemui dalam kontena di M'sia mati lemas selepas mandi kolam

Gambar: Saifuddin Nasution/Twitter

SHAH ALAM: Seorang remaja lelaki Bangladesh yang dihantar pulang pada Februari lalu, selepas ditemui dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor, dilaporkan meninggal dunia berhampiran rumahnya.

Ratul Islam Fahim lemas semasa mandi seorang diri di kolam berhampiran rumahnya di Monohargonj, daerah Cumilla, pada Sabtu (30 Apr) menurut polis seperti dilapor Bdnews24.Com.
Bapanya, Faruk Mia, memberitahu polis bahawa Ratul, yang mempunyai masalah mental, tidak pandai berenang.

Encik Faruk berkata Ratul mandi seorang diri kerana semua orang keluar ke sawah untuk menuai padi.

"Bagaimana saya boleh hidup selepas ini?" katanya mengenai anak sulung daripada tiga beradik itu.

Menurut Bdnews24.Com, Ratul telah dikebumikan tanpa melalui proses bedah siasat selepas keluarganya mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Laporan itu turut menyebut bahawa pihak berkuasa berjanji untuk menjalankan siasatan menyeluruh ke atas insiden tersebut.

Kisah remaja berusia 16 tahun itu menarik perhatian media antarabangsa terutama Malaysia selepas dia ditemui dalam kontena yang diturunkan dari sebuah kapal di Westports di Pelabuhan Klang pada 17 Januari lalu, lapor Astro Awani.

Dia dilaporkan bertahan hidup selama enam hari tanpa makanan atau minuman.

Dia memberitahu pihak berkuasa bahawa dia sedang bermain dalam kontena dengan kawan-kawan di Chittagong tetapi kemudian terkunci di dalamnya.

Ratul kemudian dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang sebelum ditempatkan di sebuah pusat jagaan sementara, menurut laporan Astro Awani.

Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN) kemudian membantu menguruskan dokumennya dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia sebelum dia dihantar pulang pada 22 Februari lalu.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan