Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Remaja kurang upaya ditampar ahli jawatankuasa masjid

Tular di media sosial satu video yang menunjukkan seorang ahli jawatakuasa masjid menampar remaja kurang upaya dalam pekarangan masjid.

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja kurang upaya ditampar ahli jawatankuasa masjid

Petikan gambar dari video yang tular di media sosial.

Diterbitkan : 23 Feb 2019 08:37AM Dikemas Kini : 23 Feb 2019 08:49AM

GOMBAK: Tular di media sosial satu video yang menunjukkan seorang ahli jawatakuasa masjid menampar remaja kurang upaya dalam pekarangan masjid.

Pada awalnya, seorang pengguna Twitter, @ashzff, mengirim satu tweet yang mendakwa seorang "pak cik bertindak kasar". Pengguna Twitter itu mengaku sebagai sepupu mangsa dalam insiden berkenaan.

"Lihat apa yang dilakukan kepada sepupu saya. Yang lain boleh tengok dan gelak je?... Lepaskan geram dekat budak yang tak bersalah. Anda bertuah kerana saya tidak berada di sana semasa kejadian. Ni dekat Masjid Al-Faizin Kepong," tulis pengguna Twitter itu.

Walaupun video yang dikongsinya sudah diturunkan, ramai sudah menularkan video itu di pelbagai wadah media sosial, termasuk pada platform Facebook. Seorang lelaki berkopiah jelas kelihatan berkali-kali menampar mangsa. Sekurang-kurangnya tiga individu lain dilihat berada berhampiran suspek.

Dalam laporan Sinar Harian, polis tempatan mengesahkan bahawa kejadian itu berlaku akibat salah faham. Ahli jawatankuasa terbabit menyangka mangsa mahu mencuri wang dari tabung masjid.

Ketua Polis Daerah Gombak Penolong Komisioner Samsor Maarof berkata, mangsa disuruh individu lain, yang juga anggota jawatankuasa masjid, untuk mengambil wang dari tabung untuk dikira. Insiden berlaku pada 10 Feb, sekitar waktu solat Isyak.

Encik Samsor menambah, suspek tidak mengetahui tentang perkara sebenar lalu bertindak terburu-buru dengan menampar mangsa. Mangsa difahamkan selalu berada di masjid dan turut ditugaskan mengambil kutipan derma pada hari kejadian.

Beberapa media tempatan melaporkan bahawa remaja berusia 17 tahun itu kemudian pulang ke rumah dengan mengayuh basikal, dalam keadaan menangis.

Encik Samsor selanjutnya memberitahu Sinar Harian bahawa abang mangsa yang membuat aduan polis selepas mendapat tahu tentang apa yang menimpa adiknya. Mangsa turut dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Beliau tidak mengalami sebarang kecederaan teruk.

Namun, ramai netizen marah dan kecewa dengan tindakan suspek, sambil menyifatkan tindakannya sebagai tidak wajar.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan