Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Remaja ini jadi buta selepas bertahun makan makanan segera

Seorang remaja di United Kingdom (UK) menjadi buta setelah bertahun-tahun hidup dengan memakan makanan segera, dedah satu kajian yang diterbitkan pada Isnin (2 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja ini jadi buta selepas bertahun makan makanan segera

(Gambar: Pixabay)

Diterbitkan : 04 Sep 2019 08:15AM Dikemas Kini : 04 Sep 2019 08:17AM

BRISTOL: Seorang remaja di United Kingdom (UK) menjadi buta setelah bertahun-tahun hidup dengan memakan makanan segera, dedah satu kajian yang diterbitkan pada Isnin (2 Sep).

Remaja lelaki itu, disifatkan sebagai seorang yang cerewet dalam bab makan, mengambil makanan seperti kentang goreng, kerepek kentang, roti putih, daging salai dan sosej dalam dietnya. Demikian menurut laporan yang diterbitkan dalam Annals of Internal Medicine.

Beliau akhirnya didiagnosis dengan neuropati optik pemakanan, iaitu keadaan di mana saraf optik tidak lagi berfungsi. Ketika itu, ia sudah terlambat untuk merawat keadaannya.

Menurut laporan BBC, pesakit itu pertama kali berjumpa doktor pada usia 14 tahun kerana mengalami keletihan. Berdasarkan kenyataan media Universiti Bristol, remaja berkenaan mempunyai berat badan dan ketinggian normal serta tidak menunjukkan tanda-tanda malnutrisi yang jelas.

Beliau kemudian didiagnosis dengan kekurangan vitamin B12 dan perlu memakan suplemen tetapi tidak mengikuti rawatan dengan rapi mahupun memperbaiki dietnya.

Sepanjang beberapa tahun kemudian, pesakit itu mengalami kehilangan daya pendengaran dan "simptom penglihatan" pun mula dialami.

Akhirnya pada usia 17 tahun, penglihatan pesakit semakin bertambah teruk dan beliau terpaksa dihantar ke Hospital Mata Bristol.

"Dietnya pada dasarnya adalah satu hidangan kentang goreng dari kedai ikan dan cip (fish and chip) tempatan setiap hari," kata salah seorang doktor remaja itu, Dr Denize Atan kepada BBC.

"Beliau juga sering memakan kudapan seperti keropok - Pringles - dan kadang-kadang kepingan roti putih serta daging salai, tiada sebarang buah-buahan mahupun sayur-sayuran.

Pesakit berkenaan menjelaskan dietnya adalah "satu penghindaran terhadap tekstur tertentu makanan yang tekaknya tidak dapat terima", kata doktor itu.

Menurut ujian, remaja itu mempunyai tahap rendah B12 serta beberapa vitamin dan mineral lain yang penting termasuk tembaga, selenium dan vitamin D.

Beliau mempunyai gangguan pengambilan makanan yang terhalang, menyebabkan kehilangan mineral dari tulangnya. Remaja berkenaan dirujuk kepada ahli diet serta pakar kesihatan mental dan perlu mengambil vitamin tambahan, lapor BBC.

Meskipun kehilangan penglihatan remaja itu memenuhi kriteria untuk didaftarkan sebagai buta, beliau masih boleh berjalan sendiri berdasarkan penglihatan periferal.

Dr Atan berkata walapun kes-kes sebegitu jarang berlaku, ibu bapa harus sedar akan kemudaratan berpotensi akibat cerewet dalam pengambilan makanan.  

Sumber : Agensi berita/CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan