Remaja disyaki tembak mati 8 orang di Thailand pernah tonton kandungan ganas online
Orang ramai memberikan penghormatan di luar Sekolah Debsirin Nonthaburi menyusuli kejadian tembakan maut di wilayah Nonthaburi, di pinggir Bangkok, Thailand, pada 9 Ogos 2026. (Gambar: REUTERS/Valeria Mongelli)
- Seorang remaja lelaki 14 tahun disyaki menembak mati datuk dan neneknya serta enam mangsa di sekolah pinggir Bangkok pada 7 Ogos, sebelum menembak dirinya sendiri.
- Polis Thailand mendapati remaja itu pernah membawa pistol angin ke sekolah dan kerap menonton kandungan keganasan di media sosial untuk mempelajari penggunaan senjata api.
- Kementerian Pendidikan Thailand akan memperkenalkan protokol keselamatan baharu dalam masa tiga bulan, termasuk saringan kesihatan mental dan langkah mengesan barangan berbahaya di sekolah.
- Kejadian ini menyebabkan sembilan maut dan lebih 20 cedera, sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai kawalan senjata api di Thailand.
Siasatan masih dijalankan terhadap kejadian pada Jumaat (7 Ogos) lalu, apabila remaja lelaki berusia 14 tahun itu dipercayai menembak mati datuk dan neneknya di rumah sebelum membunuh enam lagi mangsa di sekolahnya dan kemudian menembak dirinya sendiri.
Polis menyatakan remaja itu menggunakan media sosial untuk mempelajari cara menggunakan senjata api.
"Berdasarkan temu bual dengan saksi, pelaku mula menunjukkan minat untuk mempelajari penggunaan senjata api sejak kira-kira satu hingga dua tahun lalu," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah Satu Atthapol Anusit kepada wartawan.
Menurut Encik Atthapol, polis setakat ini sudah menemu bual 17 saksi.
Sebilah pisau turut ditemukan di dalam beg remaja itu, manakala bukti lain yang ditemukan di tempat kejadian termasuk senjata api, kelongsong peluru dan sebuah komputer peribadi.
"Selepas memeriksa komputer itu, didapati kanak-kanak tersebut menonton kandungan media sosial yang melibatkan keganasan," katanya.
Bagaimanapun, polis belum menemukan bukti bahawa remaja itu pernah berlatih menembak.
Encik Atthapol berkata seorang guru juga pernah merampas sepucuk pistol BB, sejenis pistol angin, yang dibawa remaja itu ke sekolah pada tahun lalu.
Remaja berkenaan tinggal bersama datuk dan neneknya selama 12 tahun selepas ibu bapanya berpisah.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Thailand menyatakan ia akan membangunkan protokol keselamatan baharu bagi sekolah dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Langkah itu termasuk saringan kesihatan mental dan sistem untuk merujuk individu berisiko kepada pakar, latihan pelan tindak balas kecemasan, usaha menangani buli serta pengesanan lebih baik bagi menghalang barangan berbahaya daripada dibawa masuk ke sekolah.
Selain sembilan mangsa yang maut, lebih 20 orang cedera dalam kejadian itu.
Ia merupakan kejadian tembakan beramai-ramai paling buruk di Thailand sejak 2022 dan sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai kawalan senjata api di negara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.