Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Remaja dipukul 10 pelajar, dicedera dengan seterika panas gara-gara cemburu

Anggaran Waktu Membaca:

TELUK INTAN: Gara-gara cemburu, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun menjadi mangsa pukul 10 pelajar lain dalam kejadian di bilik asrama sekolah di Teluk Intan pada Khamis (23 Jun). 

Bukan itu sahaja, mangsa juga dicederakan dengan seterika panas pada tubuh badannya, menurut laporan Astro AWANI. 

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami sakit di bahagian pinggang dan kini menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

"Polis daerah Hilir Perak menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 9.40 malam 23 Jun. 

"Kejadian tersebut berlaku di salah sebuah sekolah menengah di Teluk Intan. Hasil siasatan mendapati, mangsa dibuli oleh 10 orang suspek berumur 16 hingga 17 tahun yang merupakan pelajar tingkatan empat dan lima di sekolah terbabit.

"Kejadian berlaku pada Khamis, antara pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 1.00 pagi.

"Salah seorang suspek telah membawa mangsa ke bilik asrama dan kemudiannya memukul mangsa secara beramai-ramai dan mencederakan mangsa menggunakan seterika panas pada badan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu (25 Jun). 

Encik Mior Faridalathrash berkata, mangsa kemudiannya menghubungi ibunya serta mengadu mengalami sakit di bahagian pinggang.

Ibu mangsa kemudiannya membawa mangsa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut, lapor Astro AWANI. 

"Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan berada di dalam keadaan stabil.

"Soal siasat awal mendapati pergaduhan tersebut dikatakan berpunca dari perasaan cemburu setelah mangsa berbual dengan seorang pelajar wanita yang juga teman wanita kepada salah seorang suspek yang membuli mangsa," katanya lagi.

Justeru katanya, kesemua suspek sudahpun ditahan oleh pihak polis pada hari yang sama pada pukul 11.20 malam sejurus menerima laporan.

Kesemua suspek juga ditahan reman selama empat hari bermula Jumaat (24 Jun) hingga Isnin depan (27 Jun) bagi membantu siasatan.

Katanya lagi, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan.

Justeru, pihak polis ingin menasihatkan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak sesekali menyebarkan maklumat yang tidak sahih kepada umum serta disarankan untuk melakukan sebarang laporan dan aduan di balai polis berhampiran, lapor Astro AWANI lagi. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan