Remaja diberkas atas serangan berdarah ke atas penunjuk perasaan di Wisconsin
Seorang remaja lelaki ditangkap dan didakwa dengan tuduhan melakukan pembunuhan pada Rabu (26 Ogos) berhubung tembakan yang mengorbankan dua orang dan mencederakan seorang lagi semasa tunjuk perasaan membantah tindakan polis terhadap seorang lelaki kulit hitam di bandar Kenosha, Wisconsin.
Kumpulan bersenjata bergelut dengan penunjuk perasaan di Wisconsin semasa bantahan terhadap keganasan polis ke atas warga kulit hitam (Gambar: REUTERS/Stephen Maturen)
KENOSHA: Seorang remaja lelaki ditangkap dan didakwa dengan tuduhan melakukan pembunuhan pada Rabu (26 Ogos) berhubung tembakan yang mengorbankan dua orang dan mencederakan seorang lagi semasa tunjuk perasaan diadakan bagi membantah tindakan polis terhadap seorang lelaki kulit hitam di bandar Kenosha, Wisconsin.
Pergolakan awam menggegarkan bandar dengan sekitar 100,000 penduduk yang terletak antara Chicago dan Milwaukee sejak Ahad selepas pihak polis melepaskan beberapa das tembakan pada bahagian belakang tubuh Jacob Blake, 29, dari jarak dekat.
Pada Rabu, Milwaukee Bucks - satu-satunya pasukan bola keranjang NBA yang berpangkalan di Wisconsin - tidak meninggalkan bilik salin untuk perlawanan mereka menentang Orlando Magic sebagai membantah insiden yang mencetuskan semula gerakan menentang perkauman dan kekejaman polis yang meletus di seluruh Amerika Syarikat pada Mei.
Persatuan Bola Keranjang Nasional (NBA) kemudian membatalkan semua perlawanan pada Rabu.
Walaupun perbuatan merosakkan harta benda awam dan pembakaran merosakkan sebilangan perniagaan pada dua malam pertama tunjuk perasaan diadakan, malam ketiga pula menyaksikan pertumpahan darah.
Para penunjuk perasaan dan sebahagian besar penduduk berkulit putih yang mendakwa diri mereka sebagai anggota kumpulan militia yang menjaga perniagaan tempatan turut bertempur di tepi jalan.
Suspek insiden tembakan itu dikenal pasti sebagai Kyle Rittenhouse,17 tahun, dari Antioch, Illinois, yang diberkas selepas waran tangkap dikeluarkan terhadapnya di Illinois dan didakwa melakukan pembunuhan dengan sengaja, menurut dokumen mahkamah.
Pejabat peguam bela di Lake County, Illinois, di mana Rittenhouse ditahan sementara menunggu dihantar ke Wisconsin, enggan mengulas berhubung insiden tersebut.
SUSPEK BERSENJATA DALAM GAMBAR FACEBOOK
Laman Facebook suspek yang kini sudah dipadamkan menunjukkan dia bergambar dengan seorang pemuda lain, kedua-duanya memegang senapang. Gambar itu diiringi dengan lencana 'Blue Lives Matter' bagi menyokong pihak polis.
Syerif Kenosha County David Beth berkata tembakan itu mungkin melibatkan para anggota dalam kumpulan yang menggesa pihaknya supaya melantik mereka bagi membantu polis menangani tunjuk perasaan tersebut. Permintaan itu bagaimanapun ditolak, katanya.
Pada Rabu, Facebook memadamkan laman Kenosha Guard, sebuah kumpulan yang menyifatkan diri mereka sebagai kumpulan militia tempatan yang menyeru para anggotanya supaya tampil membantu.
"Kami tidak tahu sama ada mereka sebenarnya menyahut seruan Kenosha Guard Militia untuk mengangkat senjata," menurut kumpulan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.