Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Remaja curi, sorokkan tabung masjid dipenjara 10 hari, didenda RM4,000

Anggaran Waktu Membaca:
 Remaja curi, sorokkan tabung masjid dipenjara 10 hari, didenda RM4,000

Daniel Iskandar, 19 tahun, yang memakai baju T berwarna biru selepas dia mengaku bersalahpada 13 Jan 2022 kerana cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Jan 2022 08:42PM Dikemas Kini : 13 Jan 2022 08:42PM

KUALA LUMPUR: Seorang remaja, yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 (S$1,300) oleh Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur pada Khamis (13 Jan).

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19 tahun, yang memakai kemeja T berwarna biru selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah. Dia mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang, Kuala Lumpur, hampir tengah malam 8 Jan lalu.

“Mengaku salah,” kata remaja lelaki itu dalam keadaan bersahaja ketika ditanya jurubahasa mahkamah sama ada dia mengaku salah atau tidak.

Sebelum menjatuhkan hukuman, majistret Nik Mohd Fadli turut menegur tindakan tertuduh yang cuba mencuri tabung masjid kerana ia perbuatan yang salah.

“Tahu apa salah awak? Duit orang bagi untuk masyarakat dan pembangunan masjid, awak curi letak dalam bilik jenazah pula. Harap benda ini jadikan satu pengajaran dan kesedaran pada awak,” kata beliau.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang menganggur itu agar menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 9 Januari lalu dan dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.

Awal dari itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam supaya memberi pengajaran kepada tertuduh serta mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan sama.

Peguam Azman Abdullah, yang mewakili Daniel, memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini merupakan kesalahan kali pertama oleh anak guamnya serta dia sudah insaf.

“Anak guam saya memohon maaf kepada mahkamah dan pihak masjid. Alasan dia (cuba mencuri) kerana dia perlukan duit untuk membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis. Dia cuba meminta kepada orang tetapi mereka tidak boleh tolong.

“Anak guam saya merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik dan ibu bapanya telah bercerai sejak dia berusia lapan tahun. Dia tinggal bersama datuknya berusia 70-an (tahun) dan kehidupan mereka bukan senang. Makan dan minum juga daripada sedekah jiran-jiran," kata peguam Azman yang merupakan peguam pro bono (tanpa bayaran atau sukarela).

Menurut beliau lagi, meskipun tertuduh salah, tindakan pihak-pihak mengambil video seperti yang tersebar menerusi laman sosial adalah tidak wajar kerana sudah menyebabkan tekanan kepada tertuduh dan keluarga.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang merupakan siak di masjid itu, pergi ke masjid dan mendapati tabung masjid tiada. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ia didapati seorang lelaki merosakkan tabung masjid sebelum mengheret dan menyembunyikan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.

Pengadu bersama ahli jawatankuasa masjid mengesyaki lelaki itu tinggal berdekatan masjid. Apabila mereka membuat rondaan di sekitar kawasan itu, mereka ternampak seorang lelaki yang sama dengan rakaman CCTV lalu menghampirinya untuk bertanya adakah dia memecah masuk dan mencuri tabung masjid berkenaan.

Lelaki itu kemudiannya mengaku bahawa dia melakukan perbuatan itu. Ahli jawatankuasa masjid kemudian menangkapnya dan menghubungi pihak polis.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki tular dalam media sosial apabila video selama satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah serta dia dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.

Sumber : Bernama/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa