Skip to main content

Dunia

Remaja 14 tahun di Kedah langgar wanita hingga maut

Anggaran Waktu Membaca:
Remaja 14 tahun di Kedah langgar wanita hingga maut

(Gambar: Pexel/Artyom Kulakov)

ALOR SETAR: Polis Kedah membuka kertas siasatan terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun yang memandu kereta tanpa lesen sehingga mengakibatkan kemalangan maut melibatkan seorang peniaga di Jalan Kuala Kedah, Ahad (22 Okt) lalu.

Ketua Polis Kedah, Fisol Salleh berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kini hanya menunggu keputusan timbalan pendakwa raya untuk pertuduhan di mahkamah, lapor Astro Awani.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 malam Ahad lalu, Nur Shafiqah Abdullah, 32 tahun, maut setelah motosikal dinaiki bersama kakaknya, Nooraliza, 43 tahun, dirempuh sebuah kereta jenis Proton Satria dipercayai dipandu remaja terbabit.

Difahamkan kereta milik rakan ibu remaja berkenaan hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan, sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal dinaiki mangsa.

Mengulas lanjut Encik Fisol berkata, ujian air kencing dijalankan terhadap remaja tersebut mendapati dia negatif dadah, seperti dinukil laporan Astro Awani.

Katanya, ketika ini remaja tersebut berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, Encik Fisol mendedahkan, siasatan terhadap remaja itu turut membongkar hubungan seks dilakukan dua lelaki dengannya, sebelum ini.

"Polis menjalankan siasatan berasingan bagi kes berkenaan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Kesiksaan kerana merogol berikutan status remaja itu yang masih di bawah umur.

"Pihak polis telah menahan seorang suspek malam tadi dan sedang memburu seorang lagi lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rogol tersebut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Encik Fisol berkata, hingga kini pihaknya menerima lebih 140 laporan kes rogol melibatkan remaja di bawah umur di Kedah, pada tahun ini.

"Peningkatan yang sangat drastik di negeri Kedah, hingga sekarang kita sudah ada 140 lebih kes rogol di bawah umur yang mana dalam penyiasatan kita mendapati ia berlaku kerana suka sama suka... tetapi oleh kerana di bawah umur ia menjadi kesalahan jenayah," katanya.
 
Sumber : Agensi berita/AA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita