Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Relawan polis India didapati bersalah rogol, bunuh doktor hospital pemerintah

Anggaran Waktu Membaca:
Relawan polis India didapati bersalah rogol, bunuh doktor hospital pemerintah

Gambar: EPA

Diterbitkan : 19 Jan 2025 06:14PM Dikemas Kini : 19 Jan 2025 06:15PM
KOLKATA: Sukarelawan polis yang didakwa merogol dan membunuh doktor yang kisahnya menggemparkan India, tahun lalu disabitkan terhadap kesalahan itu, pada Sabtu (18 Jan).

Mahkamah Kolkata mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh, Sanjay Roy dalam perbicaraan singkat yang mencetuskan kemarahan penduduk berhubung isu keselamatan wanita.

Hakim Anirban Das berkata, bukti yang dikemukakan menunjukkan Roy bersalah dan hukuman akan dijatuhkan pada prosiding pada Isnin, berkemungkinan penjara seumur hidup atau mati mandatori.

"Tuduhan terhadap kamu sudah terbukti. Kamu didapati bersalah," kata hakim itu.

Peguam Roy tidak dapat dihubungi untuk mengulas keputusan mahkamah. Mereka sebelum itu berhujah terdapat percanggahan ketara dalam hasil siasatan dan laporan forensik.

Roy ketika pendakwaan pada November 2024, mengaku tidak bersalah dan memaklumkan dia diperangkap.

Dia mengulangi pengakuan sama dalam prosiding semalam dengan berkata, "saya tidak melakukannya."

Ketika perbicaraan, Polis Persekutuan India yang menyiasat kes itu menyifatkan jenayah berkenaan jarang berlaku dan memohon hukuman mati dikenakan terhadap Roy.

Di luar mahkamah, beberapa doktor melaungkan slogan tanda solidariti terhadap mangsa, manakala lebih 200 polis dikerah mengawal keadaan.

Seramai 128 saksi diambil keterangan, yang mana 51 daripadanya diperiksa semasa perbicaraan yang bermula 11 November 2024, menurut sumber mahkamah.

Polis juga mendakwa pegawai yang mengetuai balai polis tempatan ketika jenayah berlaku dan bekas ketua hospital kerana disyaki memusnahkan tempat kejadian dan mengganggu bukti.

Pegawai polis itu dibebaskan dengan ikat jamin, manakala bekas ketua hospital masih dalam tahanan berhubung kes lain membabitkan penyelewengan kewangan hospital.

Pada 9 Ogos 2024, mayat doktor wanita muda ditemui dalam bilik kuliah di Kolej Perubatan dan Hospital R G Kar, timur bandar Kolkata dengan insiden itu mendorong doktor lain mogok selama berminggu bagi menuntut keadilan terhadap mangsa dan mendesak keselamatan di hospital awam dipertingkatkan.

Sementara itu, ibu bapa mangsa yang tidak boleh didedahkan namanya mengikut undang-undang India, tidak puas hati dengan hasil siasatan, mendakwa jenayah itu tidak mungkin dilakukan oleh seorang individu sahaja.

"Anak perempuan kami tidak mungkin menemui pengakhiran yang begitu mengerikan, (dilakukan) oleh seorang lelaki.

"Kami akan terus berada dalam kesakitan dan penderitaan ini sehingga semua lelaki yang bersalah dihukum," kata bapa mangsa.
Sumber : Reuters/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan