Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Relawan masjid bantu 400 mangsa banjir di Shah Alam, bantuan kerajaan belum tiba

Para sukarelawan masjid ambil langkah sediakan sendiri segala keperluan untuk mangsa-mangsa banjir sementara menunggu bantuan dari pihak kerajaan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sekitar 400 mangsa banjir kini berteduh di sebuah masjid di Taman Alam Megah di Shah Alam, sejak Sabtu (18 Dis).

Paras banjir yang menyerang kawasan itu begitu tinggi sehingga mencapai paras dua meter dan turut mencecah ketinggian bumbung rumah.

Bantuan dari kerajaan belum dapat sampai ke kawasan itu, menurut pihak Masjid Al Faizin.

Lantaran itulah, para sukarelawan masjid tersebut mengambil langkah menyediakan sendiri segala keperluan untuk mangsa-mangsa banjir sementara menunggu bantuan dari pihak kerajaan.

Setiausaha Masjid Al Faizin, Encik Mazli Mohd Yusoff berkata: "Kita sediakan beberapa bot orang kampung dan kami menyediakan lima buah kenderaan supaya mangsa itu boleh dibawa ke tempat pemindahan sementara. Setibanya mereka di sini, kami (pihak pengurusan masjid) akan menyediakan penempatan bilik termasuk TOTO (tilam lipat), selimut, pakaian, sabun mandi dan kelengkapan makanan.

Sekumpulan seramai 15 relawan wanita, yang diketuai Hajah Kintan Yusof, pula memasak di rumahnya, yang tidak terjejas dengan banjir itu.

"Masa saya mulakan bersama mereka untuk bantu, yang pertama saya lihat adalah makanan. Hari yang mula-mula adalah makanan yang paling penting," ujar Cik Kintan.

Mereka juga menyediakan pek-pek keperluan diri termasuk pelitup, berus dan ubat gigi, sebelum diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di masjid itu.

Cik Kintan berkata: "Taman Alam Megah ini dikepung dan saya ini adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua Muslimah di Masjid Al Faizin. Kita memang suka membantu. Jadi kita cari idea sebab kita lihat ramai yang putus bekalan dan nak tunggu reda keadaan tak boleh, mereka makin lama semakin teruk."

BANJIR MELANDA SECARA MENDADAK, KAKITANGAN TIDAK BERSEDIA SECUKUPNYA

Disebabkan kejadian banjir berlaku secara mendadak, ia juga bermakna pihak masjid tidak mempunyai bekalan bantuan asas yang diperlukan selain isu tenaga kerja.

"Masa kita nak masak itu kita perlukan tenaga. Pekerja-pekerja ini pun mereka akan balik dulu jadi kekurangan pekerja untuk masak," jelas Cik Kintan.

Encik Mazli menambah: "Kami terpaksa harungi air atas dada berjam-jam di sana. Bagi saya ia sesuatu baru untuk saya dan pengurusan. Kami sendiri pertama kali uruskan orang di dalam ini sebanyak lebih 400 orang. Jadi ini betul-betul mencabar bagi kami."

Bantuan menyelamat serta menyediakan keperluan diri itu, seakan melegakan sedikit kerisauan para mangsa banjir tentang keadaan rumah mereka yang 'sudah hancur'.

Seorang mangsa banjir, Encik Muhid Ali yang sudah berteduh di Masjid Al Faizin sejak Ahad lalu (19 Dis) berkata: "Rumah saya nampaknya begitu serius. Pada mulanya, paras air belum sampai ke paras atas, masih di bawah paras airnya. Jadi dapur pun sudah habis, peti ais, tv tergolek. Mungkin sekarang ini ketinggian enam kaki lebih daripada paras tanah."

Menurut Encik Muhid yang sudah bersara, tiga buah kenderaannya juga sudah rosak dek banjir.

Selain Encik Muhid, seorang penuntut universiti, Cik Khairunnisa Md Rasun juga sudah berteduh di Masjid Al Faizin sejak Sabtu lalu (18 Dis).

"Keadaan di rumah, tadi baru tengok, agak teruk, perabot sudah jatuh. Ada yang sudah koyak jadi banyak kerja perlu dilakukan bagi pembersihan nanti. Bila dicampur semua, (nilai kerosakan) RM30,000 (S$9,720) setakat ini," jelas Cik Khairunnisa.

Mengenai pengalamannya berteduh di Masjid Al Faizin sejauh ini, Cik Khairunnisa berkata: "Duduk di sini, bantuan sangat baik, pakaian semua cukup, selesa. Sokongan cukup. Di sini pun selamat dan terjaga."

Yang pasti, bencana alam itu kini memaksa Masjid Al Faizin untuk melihat lebih jauh ke hadapan - mahu lebih bersedia seandainya pisang berbuah dua kali.

Lantaran itu ia kini memikirkan cara untuk memiliki sebuah bot laju yang dianggap genting untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir besar.

Sumber : BERITAmediacorp/HK/nk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa