Skip to main content

Dunia

Rekod 349 calon bersaing rebut 82 kerusi DUN PRN Sarawak ke-12

Sejumlah 349 calon daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), parti kerajaan campuran, sembilan parti pembangkang dan calon Bebas bakal bersaing untuk merebut kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) terbesar di Malaysia pada 18 Dis ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Rekod 349 calon bersaing rebut 82 kerusi DUN PRN Sarawak ke-12

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 07 Dec 2021 09:14AM Dikemas Kini : 07 Dec 2021 09:19AM

KUCHING: Sejumlah 349 calon daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), parti kerajaan campuran, sembilan parti pembangkang dan calon Bebas bakal bersaing untuk merebut kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) terbesar di Malaysia pada 18 Dis ini.

Dari Kuching, ibu negeri Bumi Kenyalang hingga ke kawasan tanah tinggi, Ba’kelalan di hujung utara Sarawak, kesemua 82 kerusi DUN dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 di sebalik dua kerusi DUN menang tanpa bertanding ketika Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg menerajui GPS buat kali pertama pada PRN ke-11 pada 2016.

Ini adalah jumlah terbesar dalam sejarah pilihan raya negeri dari segi parti dan bilangan calon yang bertanding.

Pertambahan pengundi di Sarawak memerlukan DUN meningkatkan bilangan kerusi daripada 71 dengan penyertaan 229 calon pada 2011 kepada 82 kerusi pada edisi 2016 dan 2021.

GPS dengan gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan Abang Johari sebagai presiden, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), menandakan realiti baru dalam politik Sarawak dalam mencari mandat baru untuk membentuk kerajaan negeri.

Empat parti komponen utama GPS, yang memainkan peranan penting dalam menawan 72 kerusi dalam PRN 2016 di bawah Barisan Nasional (BN) kemudian keluar dari pakatan persekutuan pada 2018 untuk membentuk gabungan negeri mereka sendiri dengan logo burung kenyalang warna merah dan hitam bagi menggantikan lambang BN iaitu dacing yang sinonim dengan parti gabungan itu.

Kebanjiran pencabar pada kali ini telah meningkatkan bahang demam pilihan raya dengan majoriti pertandingan melibatkan persaingan pelbagai penjuru dengan tiada pemimpin parti kerajaan mahupun pembangkang terkecuali.

Selain hanya empat kerusi menjadi perebutan satu lawan satu, yang lain menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan 13 kerusi, 33 (empat penjuru), 24 (empat penjuru), tujuh (enam penjuru) dan hanya satu kerusi menjadi pertandingan lapan penjuru.

Abang Johari berdepan dengan persaingan empat penjuru bagi kerusi DUN Gedong dengan pencabarnya terdiri daripada calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Mohamad Sofian Fariz Sharbini, Kamal Bujang (Amanah) dan wakil Parti Bumi Kenyalang (PBK), Tomson Ango.

Mengenakan kemeja putih, Abang Johari menyerahkan borang pencalonan di Dewan Masyarakat Gedong, sekali gus mendorong kerusi luar bandar itu menjadi tumpuan. Ini adalah kali pertama Abang Johari bertanding kerusi DUN Gedong setelah sembilan penggal berkhidmat di DUN Satok sejak 1981.

Beliau yakin rakyat Sarawak mampu menilai apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan GPS selama ini untuk negeri tersebut.

“Walapun ada pihak yang menyatakan manifesto ini bukanlah macam (kitab) Bible tetapi pada kita, ia adalah satu perjanjian yang harus kita laksanakan sebaik mungkin.

“Saya harap kerajaan kita sekarang ini mempunyai dasar-dasar sosial dan ekonomi sehingga tahun 2030 dan disebabkan COVID-19, kita nak pulihkan keadaan ekonomi kita dan saya harap rakyat juga akan main peranan untuk melihat masa depan Sarawak yang lebih baik bagi anak cucu mereka,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon.

Pemimpin PDP Tiong King Sing bersaing pada pertembungan lapan penjuru di DUN Dudong, manakala Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian bersaing dalam pertarungan empat penjuru bagi mempertahankan kerusi DUN Batu Kawah.

Pemimpin senior PRS, John Sikie Tayai terlibat dalam pertandingan enam penjuru bagi mempertahankan Kakus. Parti tersebut kehilangan presiden Dr James Masing, 72 tahun, pada lewat Oktober lalu akibat komplikasi COVID-19.

Dalam kalangan parti pembangkang, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen memburu kerusi DUN Padungan dalam pertandingan empat penjuru manakala Presiden Parti Sarawak Bersatu Sarawak (PBS) Wong Soon Koh, 79 tahun, menjadi calon tertua bertanding yang akan berentap dengan empat lagi calon lain bagi mempertahankan kerusi DUN Bawang Assan yang menjadi miliknya sejak 1991.

Parti pembangkang lain yang turut bersaing ialah PKR, PBK, Aspirasi, Amanah, PAS, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB).

Selepas GPS meletakkan semua calonnya di 82 kerusi, PBK mempertaruhkan jumlah kedua tertinggi bilangan calon dengan 73, diikuti PSB (70), PKR (28), DAP (26), PDDSB (11), Amanah (8), Sedar (5) dan PAS (1) serta Bebas dengan 30 calon.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju daripada Bersatu mengingkari keputusan parti untuk tidak bertanding apabila turun sebagai calon Bebas dalam usaha mempertahankan kerusi DUN Krian untuk penggal ketiga.

Ahli Parlimen Saratok berusia 53 tahun itu memenangi DUN Kiran ketika bersama PKR pada 2011 dan 2016 sebelum menyertai Bersatu pada 2020.

Pencapaian calon Bebas pada beberapa pilihan raya negeri sebelum ini tidak menyerlah dengan 69 calon hilang wang cengkeram pada edisi lalu pada 2016.

Pada PRN12 ini, hampir 13 peratus iaitu 45 calon wanita bertanding.

Di sebalik langkah ketat membendung penularan COVID-19, proses penamaan calon berlangsung tanpa kehadiran gerombolan biasa penyokong dan perarakan. Dalam pusat penamaan calon, tiada wartawan dibenarkan kecuali jurugambar dan kru televisyen.

Sejumlah 1,252,014 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN12 termasuk untuk pengundian awal yang ditetapkan pada 14 Dis ini. 

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita