Skip to main content

Dunia

Reka bentuk baharu pasport Indonesia bantu perkukuh keyakinan antarabangsa

Menteri Imigrasi dan Pemasyarakatan, Agus Andriantio berkata reka bentuk baharu pasport Indonesia akan meningkatkan mutu pasport negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Reka bentuk baharu pasport Indonesia bantu perkukuh keyakinan antarabangsa
Diterbitkan : 20 Jan 2025 11:58AM Dikemas Kini : 20 Jan 2025 11:59AM
JAKARTA: Menteri Imigrasi dan Pemasyarakatan, Agus Andriantio berkata reka bentuk baharu pasport Indonesia akan meningkatkan mutu pasport negara itu.

Encik Andriantio berkata demikian sebagai respons kepada ranking global pasport Indonesia, yang menempatkannya di tangga ke-66 dalam Indeks Pasport Henley 2025, dengan skor bebas visa sebanyak 76.

"Semoga inovasi yang kita laksanakan dapat meningkatkan mutu piawaian pasport Indonesia," kata Encik Andriantio selepas menyertai acara Hari Bhakti Imigrasi ke-75 di kompleks sukan Gelora Bung Karno (GBK) pada Ahad.

Beliau turut meluahkan harapan agar reka bentuk baharu pasport yang akan dilancarkan pada 17 Ogos 2025 itu akan mengukuhkan kedudukan pasport Indonesia.

Selain itu, beliau menjelaskan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat pasport itu akan memenuhi piawai antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Dalam satu acara berlainan, Pemangku Ketua Pengarah Imigrasi Saffar Muhammad Godam berkata reka bentuk baharu itu bertujuan mengukuhkan kepercayaan antarabangsa terhadap Indonesia.

"Demi mematuhi piawaian antarabangsa dan mengukuhkan keyakinan antarabangsa terhadap pasport Indonesia, kita perlu beralih kepada penggunaan pasport elektronik," kata Encik Godam.

Sebelum ini, pengarah kerjasama imigrasi di Kementerian Imigrasi dan Pemasyarakatan Anggiat Napitupulu menjelaskan ciri-ciri baharu pasport itu, bukan sekadar berfungsi sebagai dokumen perjalanan tetapi juga melambangkan identiti dan budaya Indonesia.

"Pasport Indonesia yang baharu akan dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan yang canggih. Jadi penggunaan 33 motif batik tradisional yang dicetak menggunakan teknologi khas bukan sekadar bagi tujuan aestetik tetapi juga atas keselamatan," kata Encik Napitupulu.

Indonesia menyertai rangkaian Direktori Kunci Awam ICAO pada 2019.

PKD adalah sebuah repositori pusat yang dikawal oleh ICAO sebagai wadah untuk mengesahkan dokumen perjalanan bagi setiap negara berdaftar dan mengikut format mesin pembaca dokumen perjalanan bagi menentukan kesahannya.

Keanggotaan dalam PKD ICAO membolehkan Indonesia untuk saling bertukar maklumat dengan negara-negara lain bagi mengesahkan kesahihan dokumen perjalanan dan meningkatkan kerjasama dalam menangani jenayah rentas negara melibatkan penyalahgunaan dokumen.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita