Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Reaksi bercampur-campur terhadap ucapan sulung Trump

Dalam ucapannya yang menyentuh pelbagai isu dalam dan luar negeri, Presiden Trump mengisytiharkan apa yang disebutnya "detik baru" bagi rakyat Amerika.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Feb 2018 12:27AM Dikemas Kini : 01 Feb 2018 12:35AM

AMERIKA SYARIKAT: Para anggota Dewan Kongres Amerika Syarikat memberikan reaksi bercampur-campur, menyambut baik atau kecewa, terhadap ucapan sulung Presiden Donald Trump kepada sesi bersama Dewan itu.

Dalam ucapannya yang menyentuh pelbagai isu dalam dan luar negeri, Presiden Trump mengisytiharkan apa yang disebutnya "detik baru" bagi rakyat Amerika.

Beliau menyeru Amerika supaya bersatu, melaksanakan dasar imigresen yang tegar dan bertindak bagi menangkis ancaman dari luar.

Ucapan tahunan, "State of the Union address" ini, membentangkan matlamat-matlamat dasar pentadbiran Trump dalam bidang dagangan, imigresen, prasarana dan keselamatan negara untuk tempoh setahun akan datang.

Dalam bidang keselamatan, Presiden Trump menggesa Dewan Kongres supaya menambah perbelanjaan pertahanan Amerika untuk mencegah pencerobohan.

"Seiring dengan usaha kita membangunkan semula kekuatan dan keyakinan di dalam negeri, kita juga memulihkan kekuatan dan kedudukan kita di luar negeri. Di merata dunia, kita menghadapi rejim-rejim penyangak, kumpulan-kumpulan pengganas dan pesaing-pesaing seperti China dan Rusia yang mencabar kepentingan kita, ekonomi kita dan nilai-nilai kita. Dalam menangani bahaya-bahaya ini, kita tahu bahawa kelemahan adalah laluan pasti ke arah konflik manakala kuasa yang tiada tandingnya adalah cara terbaik untuk mempertahankan diri kita," ucap Encik Trump.

Dalam soal keselamatan juga Presiden Trump turut menjurus kepada Korea Utara.

Beliau berkata tindakan Pyongyang terus membangunkan senjata nuklear akan mengancam Amerika tidak lama lagi.

Lantaran itu Presiden Trump berjanji akan terus mengenakan tekanan maksimum bagi mencegah hal itu daripada berlaku.

Mengenai ekonomi, Presiden Trump menegaskan Amerika tidak akan lagi menerima perjanjian-perjanjian dagangan yang tidak adil.

Beliau juga membentangkan pencapaian-pencapaian ekonomi di bawah pentadbirannya sepanjang setahun lalu seperti kadar pengangguran yang rendah, kenaikan gaji dan pasaran saham yang kukuh.

Menurut Presiden Trump sekarang adalah masa terbaik untuk rakyat mula menggapai "Impian Amerika" dalam kehidupan mereka.

Sumber : Agensi berita/MU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan