Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Reaksi bercampur-campur terhadap 100 hari Anwar Ibrahim jadi PM

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Para pakar ekonomi dan politik memberi ulasan yang bercampur-campur sedang Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menggalas jawatan itu tepat 100 hari pada Sabtu (4 Mac).

Mereka berkongsi bahawa walaupun kerajaan perpaduan Malaysia memulakan dengan langkah yang betul berhubung usaha melawan rasuah serta mengembalikan kestabilan politik namun perpecahan dalam negara itu kekal menjadi suatu cabaran besar.

Mentelah lagi, PM Anwar yang berusia 75 tahun menjadi PM ke-10 Malaysia sedang negara itu berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dek pukulan COVID-19.

KERJASAMA BAIK & KERAJAAN MADANI SATU TANDA POSITIF

Lantaran itu, kerjasama dipupuk bersama seturu politik Barisan Nasional dan parti-parti politik di Borneo amat dialu-alukan para pakar.

Mereka berpendapat perkara itu adalah keutamaan PM Anwar dalam menjalinkan kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, mereka memberitahu Mediacorp bahawa konsep kerajaan Malaysia Madani dilancarkan PM Anwar juga mencerminkan sebuah masyarakat inklusif berdasarkan sikap saling hormat menghormati, pentadbiran yang baik dan sifat ihsan.

Ketua Pegawai Eksekutif badan pemikir IDEAS Malaysia Tricia Yeoh berkata: "Beliau memberi kenyataan yang betul tentang pentadbiran baik, proses pemerolehan tulus dan tiada rundingan secara langsung tetapi lebih kepada tender terbuka. Ini adalah perkara-perkara yang betul.

"Namun, saya rasa ada beberapa isu boleh lagi diperbaiki. Misalnya, pelantikan anaknya Nurul Izzah sebelum ini sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan."

Nurul Izzah bagaimanapun sudah meletak jawatan dan menggalas jawatan baru sebagai pengerusi bersama sekretariat jawatankuasa penasihat ekonomi PM Anwar.
Namun, masih ada keprihatinan jika kerajaan perpaduan PM Anwar stabil dan berkesan.

"Lebih banyak lagi diperlukan dan bukan sekadar visi atau iltizam seseorang terutama sekali jika anda memimpin sebuah kerajaan terdiri daripada gabungan rakan-rakan yang kurang ingin bekerjasama," kongsi Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah Jomo Kwame Sundaram.

REFORMASI MASIH JALAN TERBAIK

Ada pula para pakar yang percaya bahawa PM Anwar masih boleh mengimbangi kepentingan berbeza dalam kerajaan perpaduan beliau.

Ini disamping beliau terus mengusahakan reformasi yang ketara di Malaysia.

Pengarah Eksekutif Institut Pulau Pinang Oi Kee Beng berkata: "PM Anwar sangat berjaya menjadi jambatan bagi parti-parti politik semasa beliau menjadi pembangkang. Kini, beliau mesti membuktikan bahawa beliau boleh menjadi jambatan kepada rakyat semasa jadi kerajaan sekarang.

"Beliau perlu terus bersemangat, optimis terhadap pasaran saham, pasaran buruh mahupun di pasar bersama rakyat Malaysia."

PM Anwar yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan Malaysia turut berjanji untuk meluluskan undang-undang berhubung proses pemerolehan kerajaan serta tanggungjawab fiskal semasa membentangkan Belanjawan Negara 2023 baru-baru ini.

CABARAN DIBAWA PEMBANGKANG

Berhubung usaha melawan rasuah, beberapa pemimpin pembangkang sudah dikenakan dakwaan di mahkamah.

Sementara itu, retorik perkauman terus dimainkan pihak pembangkang dalam landskap Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Encik Jomo menambah: "Bagaimana anda menyatukan negara yang tidak mahu bersatu padu? Ini kerana kebanyakan kumpulan utama negara ini tidak kira kaum atau agama dan sebagainya tidak ada aspirasi kesatuan negara."
Selain itu, ada juga faktor yang dibawa kerajaan perpaduan sendiri iaitu isu dalaman setiap komponen parti.

Cik Yeoh berpendapat: "Kejayaan kerajaan perpaduan ini dianggarkan bergantung kepada kejayaan gabungan yang diramalkan berdasarkan kestabilan UMNO."

UMNO sejauh ini dapat memastikan dua jawatan utama parti itu tidak dipertandingkan dalam pilihan parti bulan ini.

PM Anwar juga didapati enggan mengulas lanjut berhubung nasib timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi, yang sedang berdepan dengan puluhan tuduhan rasuah.

Secara keseluruhan, para pakar berkata prestasi kerajaan perpaduan dalam enam Pilihan Raya Negeri nanti yang bakal mencerminkan kepimpinan serta memastikan masa depan kerajaan perpaduan Malaysia.
Sumber : CNA/RU/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan