RCI Tabung Haji: Tindakan pembangkang keluar Dewan Rakyat 'tidak bertanggungjawab', kata Menteri Agama Malaysia
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata semua Anggota Parlimen sepatutnya mengambil bahagian dalam perbahasan dan mengemukakan pertanyaan bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu Tabung Haji. (Gambar fail: BERNAMA)
- Zulkifli Hasan mengkritik tindakan blok pembangkang keluar dari Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan RCI Tabung Haji pada 10 Ogos, menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.
- Blok pembangkang bertindak demikian kerana tidak berpuas hati sesi diteruskan tanpa kehadiran Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang sedang menerima rawatan.
- Zulkifli menegaskan pihak berkuasa perlu diberi ruang menjalankan siasatan susulan pendedahan laporan RCI, dan menekankan kepentingan menghormati proses undang-undang.
- Cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995 sedang diperhalusi bersama pihak berkepentingan untuk memperkukuh tadbir urus, sebelum dibentang di Parlimen selepas mendapat persetujuan Kabinet.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata semua Ahli Parlimen, tanpa mengira pihak, sepatutnya bersama-sama mengambil bahagian dalam perbahasan, meneliti isu yang dibangkitkan serta mengemukakan pertanyaan bagi mencari huraian terbaik.
"Apabila ada Ahli Parlimen yang keluar tidak mahu membahaskan, maka saya merasakan itu bukanlah satu tindakan yang bertanggungjawab," kata Encik Zulkifli kepada wartawan selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Semasa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin, blok pembangkang bertindak keluar dan tidak mengambil bahagian dalam sesi penerangan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul untuk meneruskannya tanpa kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan sebelum itu mencadangkan supaya mesyuarat khas tersebut ditangguhkan kerana Encik Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof masing-masing sedang menerima rawatan akibat masalah kesihatan.
BERI RUANG KEPADA PIHAK BERKUASA JALANKAN SIASATAN
Encik Zulkifli turut berkata pihak berkuasa perlu diberikan ruang untuk meneruskan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang menyusuli pendedahan dalam laporan RCI Tabung Haji.
"Kita perlu hormati proses undang-undang supaya dapat dilaksanakan sebaiknya untuk kemaslahatan semua," katanya.
Mengenai dakwaan mantan Ketua Audit Negara Dr Madinah Mohamad bahawa beliau tidak dipanggil untuk memberikan keterangan dalam prosiding RCI meskipun hadir pada tarikh ditetapkan, Encik Zulkifli berkata pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenainya.
Media sebelum ini melaporkan Dr Madinah, yang merupakan Ketua Audit Negara dari 2017 hingga 2019, hadir di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tarikh dan waktu ditetapkan untuk memberikan keterangan.
Namun, beliau dilaporkan tidak dipanggil meskipun menunggu lebih 30 minit.
PINDAAN AKTA TABUNG HAJI 1995
Encik Zulkifli berkata cadangan pindaan menyeluruh terhadap Akta Tabung Haji 1995, termasuk berhubung had kuasa menteri dan pengerusi TH, sedang diperhalusi bersama pihak berkepentingan.
Langkah itu bertujuan memastikan akta tersebut menyediakan kerangka tadbir urus terbaik bagi masa depan TH.
"Nanti kita akan bentangkan (pindaan Akta Tabung Haji 1995) di Parlimen untuk diluluskan, tetapi sebelum itu perlu mendapat persetujuan daripada Kabinet," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.