RCI Tabung Haji: SPRM rakam percakapan mantan CFO lebih 6 jam
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu (5 Ogos) merakam percakapan mantan ketua pegawai kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun selama lebih enam jam bagi membantu siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji.
Mantan CFO Tabung Haji hadir semula di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 5 Ogos 2026 bagi menyambung rakaman percakapan dan membantu siasatan. (Gambar: Bernama)
Rakaman percakapan itu berlangsung di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bermula pada pukul 10.30 pagi dan selesai kira-kira pada pukul 5.00 petang.
Sumber SPRM memaklumkan hanya mantan CFO yang hadir, manakala mantan ketua pegawai eksekutif (CEO) tidak hadir atas faktor kesihatan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Abd Halim Aman dalam kenyataannya berkata Rabu merupakan hari kedua rakaman percakapan mantan pegawai kanan berkenaan selepas dia dibebaskan pada Selasa.
"Rakaman percakapan individu ini diteruskan bagi melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan berhubung hasil penemuan dalam Laporan RCI Tabung Haji dan selesai kira-kira pada pukul 5.00 petang," kata beliau.
Encik Abd Halim berkata rakaman percakapan akan disambung pada Jumaat, pukul 10.00 pagi.
Pada Selasa, SPRM menahan masing-masing mantan CEO dan CFO syarikat milik badan berkanun berhubung kes sama.
Dua individu masing-masing berusia 68 dan 60 tahun ditahan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta (S$115.6 juta).
Kedua-dua individu berkenaan ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada pukul 6.30 petang Selasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.