Skip to main content

Dunia

RCEP terbuka kepada usaha perluas kerjasama, pikat anggota baharu

Negara-negara anggota Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) yang diterajui ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) terbuka kepada usaha mengembangkan pakatan itu, yang merangkumi kira-kira 30 peratus daripada Hasil Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP), perdagangan dan penduduk dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
RCEP terbuka kepada usaha perluas kerjasama, pikat anggota baharu

Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia Dyah Roro mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri RCEP ke-4 di Kuala Lumpur, pada 25 September 2025. (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) yang diterajui ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara) terbuka kepada usaha mengembangkan pakatan itu, yang merangkumi kira-kira 30 peratus daripada Hasil Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP), perdagangan dan penduduk dunia.

Timbalan Menteri Perdagangan Indonesia Dyah Roro Esti Widya Putri adalah individu pertama yang mengesahkan bahawa rundingan mengenai penyertaan itu sedang dijalankan.

“(Mesyuarat) berlangsung dengan sangat baik. Terdapat banyak sokongan terhadap RCEP, dan ia hadir pada masa yang sesuai… Proses penyertaan sedang dilaksanakan,” kata beliau kepada para wartawan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri RCEP ke-4, yang diadakan bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan pada Khamis (25 Sep). 

Menurutnya, setakat ini terdapat empat negara yang terlibat dalam proses penyertaan tersebut.

Walaupun tidak memaklumkan tempoh masa tertentu bagi negara baharu membuat penyertaan secara rasmi, katanya butiran terperinci mengenainya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Cik Dyah Roro turut menegaskan bahawa tiada sebarang bantahan daripada negara anggota sedia ada terhadap penyertaan baharu itu.

“Tiada bantahan, tiada tentangan. Kesemuanya menyokong,” kata beliau sambil menyifatkan mesyuarat di peringkat menteri itu sebagai ‘produktif.’

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Zafrul Aziz pula berkata: “Hampir semua negara terbuka untuk menerima ahli baharu dalam RCEP. Bagaimanapun keputusan akhir masih terserah kepada pemimpin RCEP.”

Hong Kong, Sri Lanka, Chile dan Bangladesh sudah menyatakan minat untuk menyertai RCEP.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Rabu (24 Sep), AEM menggesa para pegawai untuk mempercepatkan proses penyertaan itu.

Menteri-menteri menekankan bahawa memperluaskan keahlian RCEP akan dapat mengukuhkan, meningkat dan mempelbagaikan lagi hubungan ekonomi dengan rakan-rakan luar, selaras dengan Strategi ASEAN Global.

Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Muto Yoji dan Menteri Perdagangan Korea Selatan Yeo Han-Koo turut sependapat dengan Cik Dyah Roro dan Tengku Zafrul bagi menyokong penyertaan anggota baharu dalam RCEP.

“Kami telah mendengar pelbagai pandangan, dan kebanyakannya positif. Oleh itu, kami ingin menyelaraskan dengan baik bersama-sama anggota lain berdasarkan peraturan yang ada.

“Saya berpandangan ini merupakan hala tuju yang baik untuk menyaksikan pertambahan keahlian melalui prosedur itu,” kata Encik Yoji.

Sementara itu, Encik Yeo menyifatkan perbincangan RCEP berlangsung dengan “baik” dan mengesahkan sokongan Korea Selatan terhadap peluasan keanggotaan itu.

RCEP terdiri daripada 10 negara ASEAN serta China, Jepun, Korea Selatan, Australia, dan New Zealand.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita