Skip to main content

Dunia

Rayuan terakhir Najib bagi kes SRC bersambung pada 23 Ogos

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Selasa (23 Ogos) dijadual mendengar hujahan peguam Encik Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta (S$14 juta) dana milik SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, jika peguam Hisyam Teh Poh Teik yang baru dilantik oleh Encik Najib untuk mewakilinya tetap enggan berhujah, maka panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mungkin membuat keputusan serta-merta atau menangguhkannya ke suatu tarikh lain.

Pada Jumaat lalu Encik Hisyam memaklumkan panel itu bahawa beliau tidak akan membuat sebarang hujahan sama ada secara bertulis atau lisan bagi membela Encik Najib.

Tengku Maimun, yang bersidang bersama dengan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd, berkata mahkamah akan menangani perkara itu pada Selasa (23 Ogos).

Pendakwaan, yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya ad hoc V.Sithambaram, ketika mengakhiri hujahan pada Jumaat (19 Ogos) pula berkata mahkamah boleh terus membuat keputusan walaupun tiada hujahan daripada peguam Encik Najib.

Prosiding itu, yang bermula pada Khamis (18 Ogos), menyaksikan pelbagai peristiwa menarik dengan Encik Hisyam mula-mula memohon untuk menarik diri daripada mewakili Encik Najib namun permohonannya ditolak oleh mahkamah yang kemudian mengarahkan pendakwaan untuk mengemukakan hujahan mereka terlebih dahulu.

Peguam itu turut memaklumkan panel Mahkamah Persekutuan bahawa Encik Najib menggugurkan peguam caranya Encik Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) daripada mewakili beliau.

Encik Hisyam sekali lagi memohon agar prosiding itu ditangguh sehingga Khamis (25 Ogos) ini kerana beliau mempunyai kes lain pada Selasa (22 Ogos) dan Rabu (23 Ogos) namun ditolak oleh mahkamah.

Pada 16 Ogos lalu, mahkamah menolak permohonan Encik Hisyam untuk menangguhkan pendengaran rayuan itu dan mengarahkan agar ia diteruskan pada 18 Ogos.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun ke atas Encik Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (S$64.9 juta) (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagaimanapun, Encik Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun kerana Encik Mohd Nazlan memerintahkan agar kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Beliau kini dibebaskan dengan jaminan RM2 juta (S$622,403) dengan dua penjamin sementara menunggu pelupusan rayuan itu.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Encik Najib untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara dan denda.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita