Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rayuan kes pinda laporan audit 1MDB Najib Razak ditetapkan pada 21 Jul

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Abdul Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dalam kes meminda laporan audit 1MDB, ditetapkan untuk satu lagi tarikh pengurusan kes, iaitu pada 21 Julai ini.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari dan peguam Encik Arul Kanda, Jasmine Cheong mengesahkan tarikh berkenaan ketika dihubungi Bernama.

Cik Cheong berkata rekod rayuan sudah disiapkan dan pihak pendakwaan kini boleh memfailkan petisyen rayuan yang mengandungi alasan-alasan mereka.

Satu pengurusan kes berlangsung di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof pada Jumaat (26 Mei), yang kemudiannya menetapkan tarikh pengurusan kes berikutnya bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemas kini kepada mahkamah mengenai status petisyen rayuan.

Encik Mohd Fairuz yang mewakili pihak pendakwaan dan Cik Cheong, menghadiri pengurusan kes pada Jumaat. Turut hadir peguam Najib, Alaistar Brandah Norman.

Pada 3 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) melepas dan membebaskan Encik Najib dan Encik Arul Kanda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka. Kedua-duanya dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohamed Zaini berkata beliau sudahpun memberikan penilaian maksimum pada akhir kes pendakwaan dan tidak menemukan bukti untuk mensabitkan atau membuktikan bahawa Encik Najib secara jelas mengarahkan pindaan yang dibuat untuk membebaskannya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

Dalam kes Encik Arul Kanda, hakim mendapati beliau (Arul Kanda) konsisten sepanjang keterangannya dan ia serasi dengan keterangan yang dikemukakan dan keterangan saksi lain.

Najib, 69 tahun, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang kerana menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 46 tahun, pula didakwa bersubahat dengan Encik Najib dalam membuat pindaan laporan bagi melindungi mantan PM itu daripada dikenakan tindakan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada 9 Mac lepas.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan