Skip to main content

Dunia

Rayuan Anwar terhadap keputusan batal saman berhubung sabitan kes liwat 18 Nov ini

Mahkamah Rayuan menetapkan 18 November untuk mendengar rayuan Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman pemula beliau berhubung sabitan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anggaran Waktu Membaca:
Rayuan Anwar terhadap keputusan batal saman berhubung sabitan kes liwat 18 Nov ini

Gambar fail Anwar Ibrahim.

Diterbitkan : 01 Jun 2020 05:06PM Dikemas Kini : 01 Jun 2020 05:09PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 18 November untuk mendengar rayuan Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman pemula beliau berhubung sabitan bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Peguamnya J. Leela, ketika dihubungi berkata perkara itu disebut ketika pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nik Serene Nik Hashim hari ini (1 Jun).

Pada 8 November 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman Encik Anwar selepas memutuskan bahawa kes itu tidak berasas dan tanpa sebarang bukti sokongan.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Azizah Nawawi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa asas saman pemula Encik Anwar yang mendakwa mantan Perdana Menteri Najib Razak membuat pembayaran kepada pihak pendakwaan tidak disokong oleh sebarang bukti.

Kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Encik Anwar atas alasan ia adalah remeh, tidak mempunyai kuasa tindakan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Encik Anwar, yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson, memfailkan saman pemula itu pada 9 Jun 2017 dan menamakan kerajaan sebagai defendan. Beliau mendakwa tidak mendapat satu perbicaraan yang adil dalam rayuan terhadap sabitannya bagi liwat.

Katanya, hak beliau seperti yang dijamin di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan satu perbicaraan adil dicabul dan keputusan Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan tidak boleh dipertahankan, tidak sah dan batal.                    

Encik Anwar memohon satu deklarasi bahawa sabitannya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 adalah ultra vires atau melangkaui kekuasaan Perlembagaan Persekutuan, oleh itu, adalah tidak sah dan batal. Beliau juga memohon satu perintah bahawa tindakan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan adalah ultra vires, oleh itu, tidak sah dan batal.

Sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Encik Anwar bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Bagaimanapun, Anwar diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Menerusi afidavitnya, Anwar mendakwa bahawa peguam Muhammad Shafee Abdullah telah menerima RM9.5 juta (S$3.1 juta) daripada Encik Najib untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam prosiding rayuannya berhubung sabitan kes liwat.

Sementara itu, Leela berkata Mahkamah Persekutuan telah menjadualkan semula tarikh pendengaran kepada 22 Julai bagi permohonan Muhammad Shafee untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang enggan memadam satu afidavit oleh seorang pegawai tugas-tugas khas bekas peguam negara.

Beliau berkata tarikh asal pendengaran ditetapkan pada 20 Mei.

Pada 29 Nov 2018, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhammad Shafee untuk memadam afidavit Siti Rahayu Mohd Mumazani dan menyoal balas saksi itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan Muhammad Shafee mencelah rayuan Encik Anwar berhubung tindakan sivil terhadap kerajaan susulan sabitannya dalam kes liwat.

Menerusi afidavitnya, Siti Rahayu mendakwa maklumat baharu telah diperoleh iaitu sebanyak RM9.5 juta dibayar kepada Muhammad Shafee daripada akaun bank Najib antara 2013 dan 2014.

Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita