Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rawatan denggi baru terbukti berkesan dalam ujian awal ke atas monyet

Anggaran Waktu Membaca:
Rawatan denggi baru terbukti berkesan dalam ujian awal ke atas monyet

(Gambar: AFP/Dibyangshu Sarkar)

TOKYO: Satu rawatan denggi baru yang mungkin menjadi rawatan pertama untuk mencegah dan merawat virus itu sudah terbukti berkesanan dalam ujian awal ke atas monyet, menurut penyelidikan baru.

Denggi berjangkit dari nyamuk dan menjejas puluhan ribu orang setiap tahun, menyebabkan mereka mengalami gejala teruk.

Penyakit itu merupakan endemik di puluhan negara, namun tiada rawatan bagi menyembuhkannya. Dua vaksin yang dihasilkan belum lagi diluluskan di seluruh dunia.

Dua tahun lalu, para penyelidik menerbitkan kajian menunjukkan satu sebatian yang boleh secara berkesan mencegah virus itu daripada bercambah dalam biakan sel dan tikus dengan mencegah interaksi antara dua protin.

Kini, pasukan itu sudah memperhalusi sebatian tersebut dan ujian ke atas kedua-dua tikus serta monyet menunjukkan hasil "amat memberangsangkan", kata Marnix Van Loock, ketua penyelidik bagi patogen baru muncul di Syarikat Janssen Johnson & Johnson, sebuah syarikat ubat-ubatan.

Dalam ujian ke atas monyet, sebatian itu diuji terhadap dua daripada empat strain denggi yang paling kerap dikesan. Ia diuji bagi sifatnya mencegah penyakit itu dan bukan bagi tujuan rawatan.

Namun, sebatian itu diuji bagi kedua-dua rawatan dan pencegahan terhadap denggi pada tikus. Sebatian itu diuji terhadap kesemua empat jenis denggi dan ia menunjukkan hasil yang berjaya, kata Encik Van Loock.

Denggi boleh menyebabkan gejala yang serupa seperti demam selsema dan kadangkala dapat menjadi lebih teruk hingga membawa maut.

Oleh kerana terdapat empat strain berbeza denggi, apabila seseorang individu dijangkiti satu strain, ia tidak bermakna beliau kebal daripada dijangkiti strain lain. Bahkan, keadaan mereka lebih mudarat apabila dijangkiti buat kali kedua.

Penyelidik memberi amaran bahawa iklim lebih panas dan lembap yang mendorong pembiakan nyamuk berkemungkinan meningkatkan virus merebak luas.

Memandangkan tiada rawatan bagi virus itu, usaha kini tertumpu kepada mengurangkan penularan dan ini termasuk menjangkiti nyamuk dengan bakteria.

Satu vaksin bernama Dengvaxia diluluskan hanya di sesetengah negara dan ia berkesan terhadap satu strain denggi sahaja.

Vaksin kedua, Qdenga, diluluskan oleh Kesatuan Eropah (EU) pada Disember lalu. Britain dan Indonesia juga memberi lampu hijau bagi penggunaannya.

Namun persoalan masih timbul berhubung rawatan tersebut, termasuk sama ada ia boleh meningkatkan kerentanan kepada jangkitan semula.

Apabila seseorang dijangkiti denggi, kehadiran virus itu di dalam darah mereka secara amnya merangsang tindak balas imun yang kuat yang melindungi mereka daripada jangkitan pada masa hadapan.

Namun bagi sesetengah orang, tindak balas imun mereka lebih lemah dan menyebabkan mereka terdedah kepada jangkitan semula, yang boleh menyebabkan mereka mengalami gejala lebih teruk.

Para penyelidik perlu menyerahkan data keselamatan daripada fasa ujian semasa mereka itu sebelum melakukan ujian selanjutnya melibatkan manusia, termasuk kajian lapangan di kawasan yang terjejas oleh denggi.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan