Ratusan warga Amerika tinggalkan Iran minggu lalu
Ratusan warga Amerika sudah meninggalkan Iran melalui laluan darat sejak seminggu lalu selepas tercetusnya perang udara antara Republik Islam itu dan Israel, menurut catatan Jabatan Negara yang dilihat Reuters pada Jumaat (20 Jun).
Seorang penunjuk perasaan memegang potret pemimpin ulung Iran Ayatollah Ali Khamenei semasa membantah serangan Israel ke atas beberapa bandar di Iran, pada Rabu, 18 Jun 2025. (Gambar: AP/Hadi Mizban)
Walaupun ramai daripada mereka dapat keluar tanpa masalah, catatan tersebut menyatakan bahawa "ramai" warga menghadapi "kelengahan dan gangguan" semasa cuba untuk keluar.
Catatan tersebut turut mendedahkan bahawa sebuah keluarga melaporkan dua warga Amerika ditahan ketika cuba meninggalkan Iran, tanpa memberikan butiran lanjut.
Catatan bertarikh 20 Jun itu menggariskan cabaran yang dihadapi Washington untuk melindungi dan membantu warganya di sebuah negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat, di samping kemungkinan Amerika Syarikat melibatkan diri dalam konflik berkenaan.
Presiden Donald Trump dan Rumah Putih menyatakan pada Khamis bahawa keputusan sama ada Amerika Syarikat bakal terlibat dalam perang Israel-Iran akan dibuat dalam tempoh dua minggu akan datang.
Encik Trump setakat ini terus membiarkan dunia berteka-teki dengan pelbagai kenyataan daripadanya, termasuk mencadangkan huraian diplomatik segera, kepada membayangkan bahawa Washington mungkin akan menyertai peperangan di pihak Israel.
Perang udara bermula pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan ke atas Iran, menggemparkan rantau yang dibelenggu ketegangan sejak perang Israel di Gaza bermula pada Oktober 2023.
Israel, satu-satunya negara di Timur Tengah yang dipercayai memiliki senjata nuklear, menyatakan ia menyerang Iran bagi menghalang Tehran daripada membangunkan senjata nuklear.
Iran bagaimanapun menegaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan aman, dan bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas Israel.
Iran merupakan salah satu pihak dalam Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), yang tidak merangkumi Israel.
"Dengan keterbatasan sokongan konsular Amerika Syarikat di Iran, warga Amerika Syarikat yang ingin keluar dari Iran digalakkan menggunakan sebarang laluan yang sedia ada," kata jurucakap Jabatan Negara dalam satu kenyataan emel lewat Jumaat, apabila ditanya mengenai catatan tersebut yang pertama kali dilaporkan oleh The Washington Post.
PEMINDAHAN MUNGKIN DIPERLUKAN
Dalam satu amaran perjalanan yang dikeluarkan pada Jumaat, Jabatan Negara Amerika Syarikat menggesa warganya yang ingin meninggalkan Iran supaya menggunakan laluan darat melalui Azerbaijan, Armenia atau Turki.
Ruang udara Iran masih ditutup.
Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara Turkmenistan, Ashgabat, sudah memohon kemasukan untuk lebih 100 warga Amerika, namun pemerintah Turkmenistan belum memberikan kelulusan, menurut catatan berkenaan.
Republik Islam itu menganggap warga dengan dua kewarganegaraan, iaitu Iran dan Amerika Syarikat, sebagai rakyat Iran sahaja, tegas Jabatan Negara.
"Warga Amerika Syarikat berdepan risiko tinggi untuk disoal siasat, ditangkap atau dipenjarakan di Iran," menurut amaran tersebut.
Washington sedang meneliti cara untuk membantu pemindahan warganya dari Israel, namun hampir tidak mempunyai jalan untuk membantu mereka yang berada di Iran.
Kedua-dua negara memutuskan hubungan diplomatiknya sejak Revolusi Iran pada 1979.
Duta Amerika Syarikat ke Israel, Mike Huckabee, berkata pada Khamis bahawa pentadbiran itu sedang meneliti pelbagai kaedah untuk mengeluarkan warganya.
"Kami sedang berusaha mendapatkan penerbangan ketenteraan, komersil, sewaan khas dan kapal persiaran untuk memindahkan mereka," katanya dalam satu catatan di platform X, sambil menggesa warga Amerika Syarikat dan pemegang kad hijau untuk melengkapkan borang online.
Sehingga Jumaat, lebih 6,400 warga Amerika sudah mengisi borang tersebut bagi Israel, menurut emel dalaman lain yang turut dilihat Reuters. Borang itu membantu agensi meramalkan anggaran jumlah pemindahan yang mungkin diperlukan.
"Kira-kira 300 hingga 500 warga Amerika Syarikat mungkin memerlukan bantuan untuk keluar setiap hari," menurut emel dalaman bertarikh 20 Jun yang ditandakan sebagai "sensitif".
Jabatan Negara tidak mempunyai angka rasmi, namun dipercayai ribuan warga Amerika menetap di Iran dan ratusan ribu lagi di Israel.
Serangan Israel sepanjang minggu lalu meragut 639 nyawa di Iran, menurut Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia. Israel pula menyatakan bahawa serangan balas Iran mengorbankan 24 orang awam di negaranya.
"Jabatan Negara Amerika Syarikat tidak menerima sebarang laporan kematian warga Amerika Syarikat di Israel mahupun Iran," menurut emel kedua tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.