Ratusan ribu orang sertai perhimpunan sokong Palestin di Eropah
Ratusan ribu orang menyertai perarakan di seluruh Eropah pada Sabtu (4 Okt) sebagai tanda perpaduan dengan penduduk Palestin, sambil mendesak agar perang Gaza segera ditamatkan dan pembebasan aktivis-aktivis yang ditahan dari misi bot flotila yang cuba melakukan perjalanan ke wilayah itu pada awal minggu ini.
Orang ramai menyertai mogok sektor pengangkutan, pelabuhan dan sekolah bagi membantah pembunuhan rakyat Palestin di Gaza, di Turin, Itali, pada 22 September 2025. (Gambar: AP/Andrea Alfano/LaPresse, Fail)
Para penganjur berkata ratusan ribu orang memenuhi jalanan di Rom untuk hari keempat berturut-turut, selepas Israel memintas flotila Global Sumud yang terdiri daripada 45 bot awam dengan misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Polis berkata kira-kira 70,000 orang menyertai bantahan berasingan di Barcelona, manakala ribuan orang berarak di Dublin bagi menandakan apa yang pihak penganjur sifatkan sebagai "genosid selama dua tahun" di Gaza.
KEMARAHAN TERHADAP PERANG GAZA DAN PENAHANAN AKTIVIS FLOTILA
Sepanyol dan Ireland merupakan antara pengkritik paling lantang bersuara di Eropah mengenai operasi ketenteraan Israel di Gaza, yang bermula selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Di Itali, pemerintah ditadbir Perdana Menteri Giorgia Meloni dituduh tidak
mengambil tindakan terhadap konflik tersebut.
Pada Sabtu, beliau mengecam tindakan penunjuk perasaan yang menconteng patung Pope John Paul II di Rom, menyifatkannya sebagai “tindakan yang memalukan.”
“Mereka mendakwa mengadakan tunjuk perasaan demi keamanan, tetapi menghina tugu peringatan seorang tokoh yang benar-benar seorang pejuang dan memelihara keamanan," kata Cik Meloni.
Para penunjuk perasaan membawa bendera Palestin dan melaungkan slogan "Bebaskan Palestin" dan "Hentikan genosid" memenuhi kawasan tengah Rom.
Keluarga dan anak-anak mereka menyertai kumpulan awam dan pengakap sambil mengibarkan kain 'keffiyeh' berwarna hitam dan putih.
PERHIMPUNAN DI SEPANYOL, PERANCIS
Di Barcelona, seorang pesara, Marta Carranza, berkata dasar Israel “sudah menyimpang sejak bertahun-tahun lama, dan kita perlu bantahnya di jalanan.”
Di Paris, sekitar 10,000 orang berhimpun. Jurucakap kumpulan Global Sumud Perancis, Helene Coron, berkata kepada orang ramai: “Flotila ini tidak berjaya sampai ke Gaza. Tetapi kami terus menghantarnya sekali lagi sehingga Palestin dan Gaza bebas.”
Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares berkata sekitar 50 rakyat Sepanyol yang menyertai flotila itu sudah ditahan Israel.
Pihak penganjur menegaskan pemintasan di perairan antarabangsa itu "menyalahi sisi undang-undang.”
PERPADUAN YANG SEMAKIN MELUAS
Seorang guru sekolah rendah, Jordi Bas, yang mengibarkan bendera Palestin di Barcelona berkata beliau tidak sesekalipun terkejut melihat sambutan daripada orang ramai. “Orang ramai mula sedar sedikit demi sedikit,” katanya. “Seluruh dunia kini bangkit untuk menunjukkan perpaduan.”
Pada 14 September lalu, sekitar 100,000 penunjuk perasaan pro-Palestin memaksa peringkat akhir perlumbaan berbasikal Vuelta a España di Madrid ditangguhkan, yang disertai pasukan Israel.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, sebelum ini menyeru agar Israel digantung daripada sukan antarabangsa berikutan perang di Gaza, serta mengumumkan rancangan untuk mengharamkan import dari penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki.
Di Dublin, para penceramah menuntut sekatan ke atas Israel dan pelibatan wakil Palestin dalam sebarang pelan gencatan senjata.
Sementara itu di London, polis menyatakan sekurang-kurangnya 355 orang ditahan dalam satu perhimpunan yang menyokong kumpulan yang sebelum ini diharamkan, iaitu Palestine Action.
Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, menggesa agar tiada tunjuk perasaan diadakan susulan serangan maut ke atas sebuah rumah ibadat Yahudi pada Khamis lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.