Skip to main content

Dunia

Ratusan penunjuk perasaan bantah pindaan undang-undang tentera di Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
Ratusan penunjuk perasaan bantah pindaan undang-undang tentera di Indonesia

Penunjuk perasaan melakukan bantahan terhadap pindaan undang-undang tentera, di hadapan bangunan Dewan Perwakilan di Jakarta pada 20 Mac 2025. (Gambar: BAY ISMOYO / AFP)

Diterbitkan : 21 Mar 2025 04:35PM Dikemas Kini : 21 Mar 2025 04:43PM
JAKARTA: Rasa marah dan kecewa semakin meluap-luap di Indonesia selepas Parlimen negara itu sebulat suara meluluskan pindaan yang dipertikaikan ke atas undang-undang ketenteraan.

Ratusan orang berhimpun untuk membantah apa yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa.

Bantahan meningkat pada petang Khamis (20 Mac) apabila ramai cuba merempuh pintu gerbang Bangunan Parlimen.

Meriam air terpaksa digunakan untuk menyuraikan para penunjuk perasaan.

Lebih 5,000 anggota tentera dan polis dikerahkan, bersama beberapa unit kenderaan taktikal.

Pagar konkrit turut didirikan bagi menghadang pintu gerbang di hadapan kompleks tersebut.

Parlimen Indonesia meluluskan beberapa pindaan pada undang-undang ketenteraan pada Khamis.

Antaranya, pegawai berpangkat tinggi boleh berkhidmat lebih lama, selepas usia pesaraan mereka dinaikkan dari 60 kepada 63 tahun.

Lebih ramai pegawai tentera sepenuh masa juga dibenarkan untuk memegang jawatan awam, sekali gus meningkatkan peranan tentera dalam pentadbiran awam.

Para pengkritik bimbang langkah tersebut bakal membuka laluan kembalinya konsep 'Dwifungsi'.

Ia diterapkan semasa zaman Presiden Suharto di mana tentera Indonesia membayangi peranan pentadbiran awam di setiap jajaran pemerintah, dari peringkat daerah ke pusat.

Namun, Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin berhujah bahawa semakan itu perlu di tengah-tengah ketegangan geopolitik serta menangani konflik yang bersifat bukan konvensional.
Sumber : AGENCIES/AI/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita