Ratusan penunjuk perasaan bantah kehadiran Trump di Sidang Puncak ASEAN di Kuala Lumpur
Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di ibu negara Malaysia pada petang Jumaat (24 Okt) bagi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Sidang Puncak ASEAN.
Penunjuk perasaan memegang sepanduk bagi membantah lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia di luar Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada 24 Oktober 2025. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
- Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di ibu negara Malaysia pada petang Jumaat (24 Okt) bagi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Sidang Puncak ASEAN.
- Perhimpunan itu diketuai oleh parti pembangkang terbesar Malaysia, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dan disertai para aktivis pro-Palestin.
- PAS sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya menyasarkan kehadiran 10,000 peserta untuk perhimpunan pada Jumaat itu.
- Lawatan Encik Trump ke Kuala Lumpur menandakan kali pertama seorang presiden Amerika Syarikat mengunjungi Malaysia dalam tempoh sedekad, selepas kunjungan terakhir oleh Barack Obama pada 2015.
Encik Trump dijangka tiba pada Ahad pagi untuk menghadiri sidang puncak dan mesyuarat berkaitan yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober.
Perhimpunan itu diketuai oleh parti pembangkang terbesar Malaysia, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dan disertai para aktivis pro-Palestin.
Selepas solat Jumaat, pada pukul 2.00 petang, para penunjuk perasaan berkumpul di luar Menara Tabung Haji di pusat bandar Kuala Lumpur.
Kebanyakan mereka berpakaian hitam dan membawa bendera Palestin. Ada juga yang memegang sepanduk yang bertulis “Dump Trump (Tolak Trump)” dan “Trump you are not welcome (Trump anda tidak dialu-alukan)”.
Mereka kemudian berarak di sepanjang Jalan Tun Razak menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat yang terletak kira-kira 700 meter dari situ sambil melaungkan “Get out Donald Trump (Pergi dari sini Trump)” dan “Free Palestine (Bebaskan Palestin)”.
Perarakan itu diketuai oleh beberapa puluh anggota Jabatan Amal, pasukan relawan PAS, yang berpakaian seragam berwarna hati.
Para penunjuk perasaan berhenti berhampiran kedutaan tersebut di hadapan puluhan anggota polis, termasuk dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang pakar dalam pengurusan rusuhan.
Perhimpunan itu berlangsung dengan aman.
Antara yang berucap ialah Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
“Kami berhimpun di sini ... untuk memberitahu Donald Trump bahawa anda tidak dialu-alukan di Malaysia,” kata beliau.
“Anda bukan sahaja berpihak kepada Israel ... malah telah menghantar bantuan ketenteraan kepada pemerintah Zionis Israel.”
Mantan anggota parlimen Tian Chua, yang mewakili kumpulan aktivis Sekretariat Solidariti bersama Palestin (SSP), turut berucap. Beliau berkata tunjuk perasaan itu antara lain bertujuan untuk menunjukkan bahawa ASEAN “menghargai kemanusiaan dan kebebasan” untuk Palestin.
“Kita mesti berdiri bersama dengan rakyat Palestin dalam perjuangan mereka. Tidak kira bangsa atau agama, ini soal kemanusiaan,” kata Encik Chua, mantan anggota parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim.
PAS sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya menyasarkan kehadiran 10,000 peserta untuk perhimpunan pada Jumaat itu.
Parti Islam tersebut mengakui ada pihak yang memuji Encik Trump kerana memainkan peranan penting dalam memeteraikan gencatan senjata di Gaza yang sedang berlangsung, namun berhujah bahawa Amerika Syarikat memberi “sokongan luar biasa” kepada “rejim Zionis” sejak Encik Trump kembali ke Rumah Putih.
“Jumlah bantuan ketenteraan yang luar biasa telah disalurkan dalam hanya beberapa bulan sejak Trump kembali bagi penggal ini,” kata jurucakap PAS, merujuk kepada penjualan senjata dan peralatan ketenteraan Amerika Syarikat kepada Israel.
Perjanjian gencatan senjata Gaza, bahagian penting dalam pelan 20 perkara Encik Trump untuk menamatkan perang Gaza, mula berkuat kuasa pada 10 Oktober. Ia bagaimanapun kekal rapuh susulan pertikaian mengenai kelancaran pertukaran tebusan dan mayat serta penghantaran bantuan kemanusiaan.
Konflik dua tahun itu bermula apabila Hamas melancarkan serangan maut ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menculik sekitar 250 tebusan.
Serangan balas Israel di Gaza setakat ini meragut lebih 67,000 nyawa dan menyebabkan hampir seluruh penduduknya kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Bantahan bertajuk “Trump You’re Not Welcome in Malaysia (Trump anda tidak dialu-alukan di Malaysia)” dirancang untuk diadakan pada Ahad di Ampang Park berhampiran Pusat Konvensyen KLCC, lokasi di mana sidang puncak tersebut diadakan.
Pelbagai pertubuhan masyarakat sivil dan parti politik termasuk BDS Malaysia, SSP, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dijangka turut serta.
Pengerusi BDS Malaysia, Mohd Nazari Ismail, memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya menjangkakan sekitar 2,000 peserta akan hadir bagi tunjuk perasaan tersebut.
Para penganalisis berkata bantahan-bantahan itu dijangka tidak akan menjejaskan agenda Encik Anwar berhubung perdagangan dan keselamatan serantau.
Lawatan Encik Trump ke Kuala Lumpur menandakan kali pertama seorang presiden Amerika Syarikat mengunjungi Malaysia dalam tempoh sedekad, selepas kunjungan terakhir oleh Barack Obama pada 2015.
Encik Trump menghadiri Sidang Puncak ASEAN 2017 di Filipina semasa penggal pertamanya, namun tidak menghadiri sidang-sidang berikutnya, menimbulkan persoalan tentang komitmen pentadbirannya terhadap rantau ini.
Apabila ditanya pada Rabu mengenai tunjuk perasaan yang dijangka diadakan, Encik Anwar berkata: “Ini negara bebas. Mereka boleh lakukannya, tetapi mereka tidak boleh mengganggu penganjuran, proses dan keselamatan kawasan itu.”
Keselamatan adalah "keutamaan utama dan kami tidak akan membenarkan mana-mana pihak merosakkan proses tersebut,” tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.