Ratusan penduduk larikan diri selepas amaran gunung berapi di Filipina
MANILA: Ratusan orang meninggalkan rumah mereka di Filipina pada Rabu (11 Sep) selepas berlaku pelepasan gas berbahaya dari gunung berapi Kanlaon, menurut seorang pegawai, dengan pakar memberi amaran mengenai kemungkinan berlaku letusan.
Sekitar 300 penduduk kampung dalam jarak empat kilometer dari kawah gunung berapi Kanlaon di tengah negara dipindahkan pada Selasa sebagai langkah berjaga-jaga, kata pemerintah tempatan Bandar Canlaon, berhampiran.
Penduduk yang dipindahkan berteduh sementara di sekolah dan pusat masyarakat jauh dari gunung tersebut, kata pegawai maklumat bandar Edna Lhou Masicampo kepada AFP pada Rabu.
"Penduduk dari kampung berdekatan kaki gunung berapi mengadu tentang bau kuat belerang," kata Cik Masicampo, sambil menambah kebanyakan mereka adalah petani.
Kelas sudah digantung dan beberapa tempat tarikan pelancong di bandar dengan sekitar 60,000 penduduk itu sudah ditutup pada Rabu selepas amaran letusan gunung berapi.
Purata pelepasan harian dioksida sulfur Kanlaon naik hampir tiga kali ganda kepada 9,985 tan pada Selasa.
"Ini adalah pelepasan tertinggi daripada gunung berapi yang dicatatkan sejak pemantauan gas bermula," menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina dalam satu kenyataan.
"Aktiviti semasa boleh membawa kepada letusan," tambahnya, sekali gus meletakkan penduduk di empat kampung dalam risiko diancam "awan abu yang bergerak pantas, serpihan, batu dan lain-lain".
Dengan ketinggian lebih daripada 2,400 meter di atas paras laut di pulau Negros, Kanloan ialah salah satu daripada 24 gunung berapi aktif Filipina.
Ia sudah meletus sebanyak 15 kali dalam tempoh sembilan tahun yang lalu.
Pada Ogos 1996, tiga pendaki gunung maut disebabkan awan abu yang dilepaskan dari gunung tersebut.
Pada Jun, agensi vulkanologi negeri menaikkan tahap amaran gunung berapi itu daripada satu kepada dua berdasarkan skala sifar hingga lima.
Filipina terletak dalam 'Lingkaran Api Pasifik' yang aktif secara seismik dan merangkumi lebih daripada separuh gunung berapi di dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.