Ratusan pelajar di Surabaya jatuh sakit selepas santap makanan gratis program pemerintah Indonesia
Sekitar 200 pelajar di Surabaya, Jawa Timur mengalami gejala keracunan makanan selepas mereka makan hidangan berkhasiat percuma yang disediakan pemerintah.
Para pelajar duduk di lantai sambil menikmati juadah semasa pelancaran program makanan gratis Presiden Prabowo Subianto di sebuah sekolah rendah di Banten, Indonesia, pada Isnin, 6 Januari 2025. (Gambar: AP/Tatan Syuflana)
- Kira-kira 200 pelajar di Surabaya mengalami keracunan makanan selepas makan hidangan percuma yang disediakan oleh SPPG Tembok Dukuh Bubutan pada 11 Mei.
- Kebanyakan pelajar hanya memerlukan rawatan ringan, manakala beberapa dirawat di hospital, namun tiada yang memerlukan rawatan lanjut.
- Sampel makanan dihantar ke makmal untuk siasatan, dengan keracunan disyaki berpunca daripada hidangan daging yang jarang disajikan sebelum ini.
- SPPG menggantung operasi, memohon maaf secara terbuka, dan berjanji menanggung semua kos rawatan pelajar terjejas, sementara program makanan percuma kerajaan terus dipantau.
Menurut laporan media tempatan pada Ahad (17 Mei), kejadian itu melibatkan para pelajar daripada 12 tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah di kecamatan Tembok Dukuh pada 11 Mei.
Kebanyakan pelajar mengadu pening kepala, loya dan muntah.
Sebahagian besar hanya menjalani pemeriksaan perubatan ringan, manakala beberapa yang lain dirawat di Rumah Sakit Ibu dan Anak IBI Surabaya.
Setakat petang 11 Mei, tiada pelajar yang dilaporkan memerlukan rawatan lanjut di hospital.
Kepala Pusat Kesehatan Masyarakat Tembok Dukuh, Tiyas Pranadani mengesahkan bahawa keracunan yang disyaki berlaku itu dikaitkan dengan makanan percuma yang diagihkan oleh sebuah unit Satuan Pelayanan Pemenuhan Gizi (SPPG).
“Terdapat beberapa buah sekolah yang menerima makanan daripada satu SPPG, dan hampir kesemuanya mengadu sakit. Hampir semua mengalami gejala berkaitan,” kata beliau di lobi Rumah Sakit IBI, seperti yang dipetik laporan media pada Ahad.
Cik Tiyas berkata pada awalnya, ramai mengesyaki ia berpunca daripada hidangan daging yang disajikan pada hari tersebut.
“Berdasarkan pemantauan kami dan laporan guru-guru, biasanya makanan yang disajikan tidak mengandungi daging,” kata beliau.
“Jadi, mungkin, dan ini masih satu kemungkinan, ia mungkin berpunca daripada daging, kerana sebelum ini pelajar tidak pernah disajikan hidangan daging.”
Sampel makanan sudah dikumpul dan dihantar ke Balai Besar Laboratorium Kesehatan (BBLK) untuk menjalani ujian dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Surabaya bagi menentukan punca gejala yang dialami kanak-kanak tersebut.
“Kami sedang memeriksanya semula. Sampel sudah diambil di lokasi dan akan diperiksa di BBLK,” kata Cik Tiyas.
Beberapa pelajar melaporkan pengalaman yang kurang menyenangkan ketika memakan hidangan daging lembu pada hari tersebut.
Gibran, seorang pelajar di SD Raden Wijaya, berkata makanan itu berbau enak tetapi daging lembu tersebut terasa pahit.
“Saya tidak habiskannya. Saya letak dalam kotak makanan saya,” katanya seperti yang dinukil media tempatan, Jakarta Post.
Cicilia, seorang pelajar SDN Tembok Dukuh III yang menerima rawatan titisan intravena, berkata beliau “hanya merasa sedikit sebelum membuangnya”.
Selepas menarik balik semua baki makanan, Kepala SPPG Tembok Dukuh Bubutan, Chafi Alida Najla memohon maaf secara terbuka.
“Bagi pihak SPPG Tembok Dukuh Bubutan, saya ingin memohon maaf sebesar-besarnya kepada semua pihak yang terjejas, kepada para pelajar dan guru yang mengalami keracunan akibat makanan kami,” kata beliau seperti yang dipetik Jakarta Post.
“Kami akan memikul semua tanggungjawab berkaitan rawatan perubatan dan semua pemantauan di lapangan.”
Beliau menegaskan bahawa unitnya akan menggantung operasi sehingga keputusan ujian makmal dikeluarkan, sambil mengesahkan bahawa SPPG itu sudah menerima pentauliahan Badan Gizi Nasional (BGN) sejak ia mula beroperasi pada Februari 2026.
Meskipun operasi digantung, SPPG itu masih layak menerima bayaran harian sebanyak 6 juta rupiah (S$435.44) daripada BGN.
SPPG tersebut juga berikrar untuk menanggung semua kos perubatan pelajar yang terjejas.
Program makanan percuma bernilai AS$28 juta (S$35.86 juta) yang diperkenalkan Presiden Prabowo Subianto dilancarkan Januari lalu dengan sasaran untuk menyediakan makanan kepada hampir 90 juta kanak-kanak dan wanita hamil.
Sejak program itu dilancarkan, ribuan kanak-kanak di seluruh Indonesia dilaporkan jatuh sakit akibat keracunan makanan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.