Ratusan pelajar alami keracunan makanan di Sidoarjo, Indonesia
Ratusan pelajar Pondok Pesantren (Pondok Pesantren, Ponpes) Manbaul Hikam di Putat, Sidoarjo, Jawa Timur, mengalami gejala keracunan makanan selepas menikmati hidangan Makanan Bergizi Gratis (MBG). Pihak polis turut dikerahkan untuk membantu proses pemindahan dan rawatan mangsa.
Jumlah mangsa yang mengalami keracunan makanan selepas memakan hidangan MBG menjangkaui 700 orang. (Gambar: REUTERS/Suryanto)
- Ratusan pelajar Pondok Pesantren Manbaul Hikam dan beberapa sekolah lain di Sidoarjo mengalami keracunan selepas menikmati hidangan Makanan Bergizi Gratis (MBG).
- Insiden berlaku di Putat, Sidoarjo, Jawa Timur, dan dilaporkan pada 3 September, melibatkan pemindahan mangsa ke beberapa hospital.
- Polis Daerah Jawa Timur, Polis Kota Sidoarjo, serta pasukan perubatan segera dikerahkan untuk membantu pemindahan, rawatan awal, dan kawalan lalu lintas.
- Pihak polis menyelaraskan usaha dengan agensi berkaitan untuk memastikan rawatan berjalan lancar, sambil menzahirkan keprihatinan terhadap kesihatan para pelajar.
Seperti yang dilaporkan detikJatim pada Khamis (3 Sep), para anggota Polis Daerah Jawa Timur (Polda Jawa Timur), Polis Kota Sidoarjo (Polresta Sidoarjo) serta balai-balai polis sektor (polsek) dikerahkan ke pondok pesantren tersebut dan beberapa buah hospital di mana para pelajar tersebut dirawat.
Para pegawai turut mengawal kawasan dan mengiringi ambulans yang membawa para pelajar ke hospital. Lalu lintas juga dikawal bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar dan para mangsa dapat menerima rawatan perubatan dengan segera.
Di Pondok Pesantren Manbaul Hikam, pasukan Perubatan dan Kesihatan Polis Daerah Jawa Timur (Dokkes Polda Jatim) dan Polis Kota Sidoarjo turut memberikan rawatan awal, dengan surau pondok pesantren tersebut dijadikan lokasi sementara untuk memeriksa dan merawat para pelajar yang mengalami gejala keracunan.
Ketua Polis Kota Sidoarjo (Kapolresta Sidoarjo), Pesuruhjaya Besar Polis (Kombes) Christian Tobing, berkata pihaknya prihatin terhadap kejadian tersebut.
Selain pelajar Pondok Pesantren Manbaul Hikam, beberapa pelajar dari sekolah lain turut dilaporkan mengalami gejala serupa selepas menjamu hidangan MBG dari Unit Perkhidmatan Pemenuhan Pemakanan Kalitengah (Satuan Pelayanan Pemenuhan Gizi, SPPG), Kecamatan Tanggulangin.
"Kami turut prihatin dengan apa yang dialami para pelajar. Semoga keadaan kesihatan mereka segera bertambah baik dan kembali sihat," kata Encik Christian.
Encik Christian berkata Polis Kota Sidoarjo mengerahkan anggota daripada pelbagai unit, termasuk pasukan Perubatan dan Kesihatan (Dokkes). Langkah tersebut diambil bagi membantu proses pemindahan, selain memberi sokongan dalam usaha merawat para mangsa.
"Kami mengerahkan anggota daripada pelbagai unit untuk membantu proses pemindahan dan rawatan para pelajar. Ini merupakan satu bentuk keprihatinan kemanusiaan daripada pihak polis," kata beliau.
Selain mengawal kawasan dan mengiringi ambulans, pihak polis turut menyelaraskan usaha dengan pihak-pihak berkaitan bagi memastikan keseluruhan proses merawat mangsa berjalan dengan lancar.
"Kami terus menyelaraskan usaha dengan pihak-pihak berkaitan agar proses rawatan dapat berjalan lancar dan para mangsa menerima perkhidmatan yang diperlukan," tambah Encik Christian.
Kehadiran anggota polis di lokasi diharap dapat mempercepatkan proses pemindahan dan rawatan perubatan, selain mewujudkan suasana yang selamat bagi para pelajar, keluarga mereka serta pihak pengurusan sekolah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.