Ratusan peguam Malaysia berarak ke pejabat PM Anwar atas kontroversi pelantikan jawatan tertinggi kehakiman
Sekumpulan individu dipercayai peguam dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilihat berkumpul berdekatan Istana Kehakiman di Putrajaya, seawal pukul 12.30 tengah hari pada Isnin (14 Jul), lapor BH Online.
Beratus-ratus peguam Malaysia berarak ke Pejabat Perdana Menteri dalam Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman yang diketuai Badan Peguam Malaysia. (Gambar: Facebook/Robyn Choi)
Mereka dipercayai antara individu yang menyertai Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman bermula dari Istana Kehakiman, Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri, pada pukul 2.30 petang hari ini.
Perarakan sejauh 2.6 kilometer itu dijangka berakhir dengan penyerahan memorandum yang mengandungi empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri, lapor BH Online.
Matlamat perhimpunan tersebut adalah untuk menuntut beberapa perkara termasuk isu yang membabitkan jawatan tertinggi kehakiman, mendedahkan minit-minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini, membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat campur tangan kehakiman dan menangani kekosongan keseluruhan kehakiman.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 9 Julai, Presiden Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata bahawa perarakan itu bukan berhubung individu tertentu, sebaliknya demi integriti institusi kehakiman.
Menurutnya lagi, perarakan itu bukan semata-mata untuk para peguam, tetapi juga bagi setiap rakyat Malaysia yang menghargai keadilan.
"Apabila kebebasan badan kehakiman menjadi rapuh, seluruh negara menanggung akibatnya.
"Perarakan itu satu tindakan yang sah di sisi undang-undang, aman dan bersifat simbolik yang mencerminkan komitmen teguh kerjaya guaman dalam mempertahan Perlembagaan Persekutuan, doktrin pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang.
"Ia adalah kenyataan kolektif bahawa kebebasan badan kehakiman bukan sesuatu yang boleh dirunding dan ia mesti dilindungi daripada sebarang pengaruh luar, sama ada bersifat politik, badan Eksekutif atau sebaliknya," kata beliau seperti yang dipetik BH Online.
Beberapa pemuka utama bidang perundangan Malaysia turut dilihat tiba di Istana Kehakiman petang tadi.
Antaranya termasuk mantan menteri Rais Yatim, peguam kanan Haniff Khatri Abdullah, Siti Kassim dan mantan Presiden Badan Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan serta Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.
Anak kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga merupakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar juga turut menghadirkan diri.
Presiden Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab dan beberapa peguam tiba di Pintu Masuk Awam di Pejabat Perdana Menteri pada pukul 3.10 petang, lapor BH Online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.