Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ratusan mayat bayi perempuan ditemui di tempat buang sampah Pakistan

Sejak awal 2017, seramai 345 bayi ditemui mati dengan 99 peratus daripadanya merupakan bayi perempuan. Ini dipercayai berlaku kerana ibu bapa di Pakistan lebih memilih untuk mempunyai anak lelaki.

Anggaran Waktu Membaca:
Ratusan mayat bayi perempuan ditemui di tempat buang sampah Pakistan

Gambar fail seorang kanak-kanak Pakistan. (Gambar: A Majeed/ AFP)

Diterbitkan : 14 May 2018 09:26PM Dikemas Kini : 19 May 2018 11:49PM

KARACHI: Sejak awal 2017, seramai 345 bayi ditemui mati dengan 99 peratus daripadanya merupakan bayi perempuan. Ini dipercayai berlaku kerana ibu bapa di Pakistan lebih memilih untuk mempunyai anak lelaki.

Antara mayat yang ditemukan termasuk mayat seorang bayi perempuan yang dikelar di bahagian leher. Seorang lagi bayi menerima nasib sama apabila direjam sampai mati selepas seorang ketua kampung menganggapnya sebagai 'anak luar nikah' apabila ditinggalkan di tangga sebuah masjid.

Pembunuhan terhadap bayi merupakan satu kesalahan jenayah di Pakistan. Namun, polis menyatakan bahawa ia masih berlaku atas desakan kemiskinan dan ibu bapa yang tidak berpendidikan.

Menurut Metro UK, Yayasan Edhi dan Pertubuhan Kebajikan Chhipa giat berusaha untuk menghentikan perbuatan membunuh bayi di Pakistan.

Anwar Kazmi, seorang pengurus kanan di Yayasan Edhi Karachi, memberitahu The News International: "Kami menangani kes-kes seperti ini selama beberapa tahun dan terdapat beberapa insiden yang benar-benar menyayat hati. Ia membuat kami terfikir tentang mengapa masyarakat masih bersikap kuno."

Shahid Mehmood, dari Pertubuhan Kebajikan Chhipa, menambah, "Meski orang ramai mengabaikan bayi-bayi tidak berdosa ini, kami tidak boleh melakukan perkara yang sama. Kami mengadakan pengebumian seperti biasa. Selepas proses rasmi dijalankan, kami akan mengebumikan mereka di tanah perkuburan kami sendiri."

Dalam usaha untuk mengurangkan jumlah kes pembunuhan bayi, katil bayi diletakkan di beberapa kawasan Pakistan supaya ibu bapa tidak membunuh bayi mereka dan hanya meninggalkan mereka di tempat-tempat itu, lapor Metro UK.

Polis tempatan menyatakan bahawa siasatan hanya akan dijalankan jika ia menerima aduan. Tahun lalu, polis hanya menerima satu aduan.

Jumlah bayi yang dibunuh berkurangan. Bagaimanapun, ini dipercayai berlaku kerana jumlah kes penyeludupan bayi kian meningkat. Demikian menurut Cik Tahera Hasan, pengarah di Pertubuhan Kebajikan Imkaan.

Beliau berkata: "Kita perlu menitikberatkan tentang perancangan keluarga dan perlu ada kempen untuk meningkatkan kesedaran orang awam. Ini satu cara yang boleh dilakukan bagi mencegah kehamilan yang tidak diiginkan mahupun bayi-bayi yang akhirnya diabaikan." 

Sumber : Agensi berita/AQ/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan