Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ratusan laman web pemerintah Amerika tidak boleh diakses

Ratusan laman web pemerintah Amerika Syarikat (AS) tidak dapat diakses pada Isnin (3 Feb) termasuk laman agensi kemanusiaan USAID yang ditutup oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Anggaran Waktu Membaca:
Ratusan laman web pemerintah Amerika tidak boleh diakses

Laman Pemerintah AS tidak boleh diakses di tengah-tengah usaha kontroversial pentadbiran Trump untuk mengecilkan saiz pemerintah. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 04 Feb 2025 10:51AM Dikemas Kini : 04 Feb 2025 10:53AM
WASHINGTON: Ratusan laman web pemerintah Amerika Syarikat (AS) tidak dapat diakses pada Isnin (3 Feb) termasuk laman agensi kemanusiaan USAID yang ditutup oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

Daripada hampir 1,400 laman web yang disenaraikan oleh Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur (CISA), lebih 350 didapati tidak dapat diakses pada petang Isnin.

Ia termasuk laman web yang berkaitan dengan jabatan pertahanan, perdagangan, tenaga, pengangkutan dan buruh, serta Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Mahkamah Agung, menurut tinjauan AFP.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan masa tepat laman berkenaan tidak boleh diakses atau sama ada ia hanya tergendala buat sementara waktu atau dipadam atas arahan pentadbiran Trump.

Namun, perkembangan itu berlaku di tengah-tengah usaha kontroversi pentadbiran Trump untuk mengecilkan pemerintah AS secara drastik.

Ketua Eksekutif Tesla dan SpaceX, Elon Musk, menerajui langkah pemotongan kos persekutuan Trump menerusi Jabatan Kecekapan Pemerintah (DOGE).

Pada Isnin, Encik Musk mengumumkan bahawa USAID akan ditutup dan menyifatkan agensi yang menjalankan program bantuan di kira-kira 120 negara itu sebagai "organisasi jenayah."

Laman web USAID tidak dapat diakses selepas kakitangannya menerima arahan melalui e-mel supaya tidak pergi ke pejabat pada hari berkenaan.

Beberapa laman web pemerintah AS, termasuk agensi kesihatan awam utama, turut memadam rujukan kepada LGBTQ selepas arahan Encik Trump minggu lalu supaya semua program yang dibiayai pembayar cukai yang mempromosikan "ideologi jantina" dihentikan, lapor media AS.

Presiden Trump sebelum ini sudah mengeluarkan perintah eksekutif untuk melarang dasar kepelbagaian, kesaksamaan dan inklusif dalam pemerintah kerajaan.

Maklumat penting serta set data berkaitan HIV dan golongan muda LGBTQ juga dilaporkan hilang daripada laman web Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), sekali gus membimbangkan pakar kesihatan.

Laman utama CDC bagi kedua-dua topik itu memaparkan mesej: "Halaman yang anda cari tidak ditemui.

Akses awam kepada maklumat ini "amat penting terutamanya kerana penyakit seperti HIV, mpox, jangkitan kelamin dan penyakit lain mengancam kesihatan awam dan memberi kesan kepada semua penduduk," kata CDC.
Sumber : Reuters/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan