Skip to main content

Dunia

Ratusan keluarga yang hilang tempat tinggal rayu makanan & tempat berteduh di Kabul

Ratusan keluarga Afghanistan, yang berkhemah di bawah terik matahari di sebuah taman di Kabul selepas Taliban menakluki daerah tempat tinggal mereka, merayu meminta makanan dan tempat berteduh pada Khamis (26 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Ratusan keluarga yang hilang tempat tinggal rayu makanan & tempat berteduh di Kabul

Ratusan keluarga Afghanistan berkhemah di bawah terik matahari di sebuah taman di Kabul selepas Taliban menakluki daerah tempat tinggal mereka. (Gambar: REUTERS TV)

Diterbitkan : 27 Aug 2021 09:29PM Dikemas Kini : 27 Aug 2021 09:33PM

REUTERS: Ratusan keluarga Afghanistan, yang berkhemah di bawah terik matahari di sebuah taman di Kabul selepas Taliban menakluki daerah tempat tinggal mereka, merayu meminta makanan dan tempat berteduh pada Khamis (26 Ogos).

Ia disifatkan sebagai kesan paling ketara ekoran krisis kemanusiaan di negara yang dilanda perang itu.

Rampasan kuasa Taliban di Afghanistan bulan ini yang memuncak dengan penaklukan Kabul pada 15 Ogos, mencetuskan keadaan huru-hara di negara itu.

Sedang ribuan orang berkerumun di lapangan terbang untuk cuba meninggalkan negara, ramai lagi - termasuk keluarga-keluarga di taman tersebut, dalam keraguan - tidak pasti sama ada ia lebih selamat untuk pulang ke rumah atau kekal di mana mereka berada.

"Saya dalam situasi buruk," luah Cik Zahida Bibi, seorang suri rumah yang sedang duduk di bawah terik mentari bersama keluarga besarnya. "Kepala saya sakit. Saya rasa amat teruk, tidak ada apa-apa dalam perut saya,"

Encik Ahmed Waseem pula yang terpaksa berpindah daripada bahagian utara Afghanistan berkata mereka di taman itu berharap pemerintah pusat akan prihatin tentang nasib mereka.

"Kami di padang terbuka di tengah-tengah cuaca panas," kata beliau.

Seorang jurucakap Taliban memberitahu Reuters bahawa ia tidak memberi makanan kepada keluarga-keluarga di taman itu dan yang lain di lapangan terbang kerana ia akan menyebabkan lebih ramai orang berkerumun. Mereka seharusnya pulang ke rumah masing-masing, tambah beliau.

Presiden Afghanistan yang disokong negara-negara Barat serta ramai lagi pegawai sudahpun meninggalkan negara sebaik Taliban mula berkuasa.

Taliban sudahpun melantik anggota-anggotanya untuk memimpin kementerian-kementerian negara dan mengarah sebilangan pegawai kembali bekerja tetapi khidmat-khidmat belum lagi disambung semula dengan bank-bank masih tutup.

Encik Phalwan Sameer, juga dari bahagian utara Afghanistan berkata bahawa keluarganya datang ke Kabul selepas situasi di bandar asalnya memburuk secara mendadak.

"Banyak pergaduhan dan pengeboman juga. Itu sebabnya kami ke sini. Rumah-rumah dibakar dan kami jadi gelandangan," cerita beliau.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pada Selasa (24 Ogos) bahawa ia mempunyai bekalan perubatan di Afghanistan yang hanya dapat bertahan selama seminggu selepas penghantaran-penghantaran dikepung oleh sekatan-sekatan di lapangan terbang Kabul dan Program Makanan Sedunia PBB pula menyatakan negara itu memerlukan bantuan makanan AS$200 juta (S$270 juta) secepat mungkin.

PBB menyatakan lebih 18 juta penduduk - lebih separuh penduduk Afghanistan - memerlukan bantuan dan separuh daripada kanak-kanak Afghanistan di bawah usia lima tahun kebuluran teruk di tengah-tengah kemarau kedua dalam empat tahun.

Taliban sudahpun memberi jaminan kepada PBB bahawa ia boleh terus menjalankan kerja-kerja kemanusiaan sedang negara-negara asing menimbangkan sama ada untuk menghulurkan bantuan dan bagaimana untuk menyokong penduduk di bawah kepimpinan tegar Islam Taliban.  

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita