Skip to main content

Dunia

Ratusan dikhuatiri maut, cedera selepas gempa bumi 6.0 magnitud landa Afghanistan

Anggaran Waktu Membaca:
Ratusan dikhuatiri maut, cedera selepas gempa bumi 6.0 magnitud landa Afghanistan

(Gambar: Jabatan Geologi Amerika Syarikat)

Diterbitkan : 01 Sep 2025 11:47AM Dikemas Kini : 01 Sep 2025 12:16PM
AFGHANISTAN: Lebih 20 orang maut selepas gempa bumi 6.0 magnitud melanda timur Afghanistan, berhampiran sempadan Pakistan.

Kejadian itu disahkan oleh para pegawai tempatan kepada BBC.

Mangsa yang terkorban dilaporkan di wilayah Nangarhar dan Kunar.

Para pegawai berkata lebih 115 orang cedera sudah dibawa ke hospital di wilayah yang sama.

Puluhan sukarelawan bergegas ke hospital untuk menderma darah kepada mangsa di wilayah Nangarhar.

Gempa itu berlaku selepas wilayah Nangarhar dilanda banjir antara Jumaat dengan Sabtu, yang memusnahkan harta benda dan membunuh lima orang, menurut pihak berkuasa, lapor BBC.

Berbilang sumber daripada pemerintah Taliban memberitahu BBC bahawa "puluhan rumah berada di bawah runtuhan" dan kini dibimbangi ratusan orang mungkin terkorban dan cedera dalam gempa bumi itu. Ini bagaimanapun belum disahkan secara rasmi.

Dipercayai kebanyakan rumah yang rosak berada di lembah Mazar, di daerah Norgal, wilayah Kunar yang bersempadan dengan Pakistan.

Lembah itu terletak di kawasan pergunungan.

Gempa cetek dengan kedalaman 8km, melanda pada pukul 11.47 waktu tempatan pada Ahad, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Selama beberapa saat, gempa dirasai di ibu kota Afghanistan, Kabul, kira-kira 200km jauhnya, serta ibu kota Pakistan, Islamabad, yang terletak hampir 400km jauhnya, lapor AFP.

Angka kematian dijangka meningkat - wilayah yang terjejas adalah terpencil dan mempunyai rupa bumi yang kasar, dan rumah-rumah di sana secara amnya tidak tahan gempa bumi.

USGS menyatakan bahawa gempa bumi terdahulu di rantau ini pada tahap amaran yang sama memerlukan tindak balas di peringkat serantau atau nasional, lapor BBC.

Para pegawai pemerintah Taliban kini menggesa pertubuhan bantuan untuk membantu usaha menyelamat di kawasan pergunungan terpencil.

Ketua polis wilayah Kunar memberitahu BBC bahawa jalan ke kawasan itu terhalang akibat tanah runtuh yang disebabkan oleh banjir dan gegaran susulan gempa.

Beliau berkata operasi menyelamat hanya boleh dilakukan melalui udara.

Para pegawai Taliban berkata mereka mempunyai sumber yang terhad dan memohon bantuan daripada pertubuhan antarabangsa untuk menyediakan helikopter bagi sampai ke kawasan yang terjejas.

Gempa bumi sering berlaku di Afghanistan, yang terletak di garisan sesar utama di mana plat tektonik India dan Eurasia bertemu.

SEJAUH MANA SUKAR UNTUK SAMPAI KE KAWASAN GEMPA?

Kebanyakan kerosakan akibat gempa bumi dipercayai berlaku di wilayah Kunar, di mana hampir 90 peratus rupa buminya adalah bergunung-ganang.

Jalan raya yang menuju ke kawasan yang dilanda gempa adalah sangat sempit - dan kebanyakannya dihalang oleh tanah runtuh yang dicetuskan oleh gempa bumi.

Ini merumitkan usaha menyelamat. Pada masa ini, satu-satunya cara untuk sampai kepada mangsa yang terselamat adalah melalui helikopter.

Kesukaran yang sama dilihat semasa gempa bumi 2022, yang mengorbankan kira-kira 1,000 orang. Usaha mencari dan menyelamat di kampung-kampung terpencil terhalang oleh tanah runtuh, dan terpaksa dilakukan melalui udara.
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita