Skip to main content

Dunia

Ratu Elizabeth bermalam di hospital, kali pertama dalam masa bertahun-tahun

Ratu Elizabeth, 95 tahun, dimasukkan ke hospital selama semalaman buat kali pertama sejak beberapa tahun bagi menjalani pemeriksaan kesihatan, kata jurucakap Istana Buckingham dalam satu kenyataan pada Khamis (21 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Ratu Elizabeth bermalam di hospital, kali pertama dalam masa bertahun-tahun

Gambar fail Ratu Elizabeth dipetik pada 14 Okt 2021. (Gambar: Jacob King/Pool via REUTERS)

Diterbitkan : 22 Oct 2021 07:51AM Dikemas Kini : 22 Oct 2021 07:56AM

LONDON: Ratu Elizabeth, 95 tahun, dimasukkan ke hospital selama semalaman buat kali pertama sejak beberapa tahun bagi menjalani pemeriksaan kesihatan, kata jurucakap Istana Buckingham dalam satu kenyataan pada Khamis (21 Okt).

Beliau kembali ke Istana Windsor pada Khamis dalam keadaan sihat, jelas kenyataan itu.

Pihak Istana Buckingham menyatakan ratu tertua dan paling lama berkuasa di dunia itu terpaksa membatalkan kunjungan rasmi ke Ireland Utara pada Rabu atas faktor kesihatan dan diminta supaya berehat.

Jelas Istana Buckingham, masalah kesihatannya itu tiada kaitan dengan virus COVID-19.

"Selepas dinasihatkan untuk berehat selama beberapa hari, Ratu Elizabeth dibawa ke hospital pada Rabu petang bagi menjalani pemeriksaan kesihatan, dan kembali ke Istana Windsor pada waktu makan tengah hari ini dalam keadaan sihat," menurut satu kenyataan istana.

Satu sumber diraja memberitahu bahawa permaisuri itu bermalam di hospital atas sebab praktikal dan pasukan perubatannya mengambil pendekatan berjaga-jaga.

Beliau kembali bertugas pada Khamis petang dan menjalan kerja-kerja ringan, menurut sumber itu.

Ratu Elizabeth sebelum itu menerima kunjungan beberapa tokoh perniagaan seperti Bill Gates selepas Perdana Menteri Boris Johnson melancarkan sidang pelaburan mesra alam menjelang sidang puncak iklim COP26.

Ratu Elizabeth kelihatan dalam keadaan sihat dan tersenyum semasa bertemu tetamu.

Ketua negara bakal meraikan 70 tahun di atas takhta tahun depan.

Terkenal dengan tahap kesihatannya yang baik, kali terakhir beliau dimasukkan ke hospital adalah pada 2013 selepas mengalami radang perut dan usus.

Ratu Elizabeth menjalani pembedahan katarak pada 2018 dan pembedahan pada lutut pada 2003.

Awal tahun ini, suaminya selama tujuh dekad, Putera Philip, 99 tahun, meninggal dunia di Istana Windsor.

Ia bagaimanapun tidak menghalang ratu itu daripada menjalankan tugasan rasminya. Bagaimanapun dalam usianya yang lanjut, beliau menyerahkan lebih banyak tugas kepada anaknya yang juga putera mahkota, Putera Charles, serta anggota lain kerabat diraja. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita