Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Rasa macam nak mati': Pesawat MAS patah balik selepas menjunam secara mendadak

Anggaran Waktu Membaca:
'Rasa macam nak mati':  Pesawat MAS patah balik selepas menjunam secara mendadak

Gambar fail logo Malaysia Airlines. (Gambar: Greg Wood/AFP)

KUALA LUMPUR: Pesawat Malaysia Airlines (MAS) dari Kuala Lumpur menuju ke Tawau, Sabah 'menjunam' beberapa ribu kaki semasa berada di udara, sekali gus keadaan cemas dalam kalangan para penumpang sedang kapal terbang hilang altitud secara mendadak.  

Seorang penumpang pesawat itu, Halimah Nasoha, memuat naik catatan ke Facebook pada Isnin (4 Apr) bahawa beliau menaiki penerbangan MH2664 pada pukul 2.30 petang Ahad (3 Apr). 

Beliau mendakwa bahawa sekitar pukul 3.03 petang, laman web FlightRader menyatakan, kapal terbang itu tiba-tiba menjunam daripada 31,000 kaki ke 24,000 kaki dalam beberapa saat. 

"Saya terpelanting beberapa kali di tempat duduk kerana tidak memakai tali pinggang keledar. (Pada waktu itu, kami dibenarkan untuk tanggalkan tali pinggang keledar kami)," menurutnya. 

"Para penumpang berteriak dan menangis. Rasa macam nak mati." 

Kemudian, kapal terbang itu membuat pusingan-U dan terbang di daerah Melaka sebelum menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tambahnya. 

Penumpang tersebut berkata beliau menaiki pesawat lain pada Ahad petang dan tiba di Tawau pada pukul 9.50 malam. 

Menjawab pertanyaan Mediacorp, MAS menyatakan pada Rabu (6 Apr) bahawa kapal terbang itu "berpatah balik di udara disebabkan isu teknikal pada pesawat tersebut, diiringi dengan cuaca buruk semasa penerbangan". 

"Sebagai langkah berjaga-jaga, juruterbang itu membuat keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur demi keselamatan penumpang. Pesawat tersebut mendarat di Kuala Lumpur pada pukul 5.03 petang." 

Penguasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi satu kenyataan pada Selasa (5 Apr) menyatakan ia sudah bekerjasama dengan MAS untuk memastikan kesemua isu keselamatan teknikal dihuraikan mengikuti undang-undang dan langkah-langkah keselamatan. Ini termasuk respons juruterbang dan proses-proses kelayakan terbang bagi pesawat jenis tersebut, tambahnya. 

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Chester Voo berkata pihaknya akan menyemak semula Sistem Pemantauan Data Penerbangan yang dimiliki Malaysia Airlines Berhad, yang memantau dan mencatat kesemua profil data penerbangan pesawat yang beroperasi. 

"Data awal menunjukkan bahawa respons oleh anak kapal yang beroperasi itu betul menyusuli isu-isu semasa penerbangan. 

"CAAM akan terus memantau keadaan dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang isu yang mungkin mengancam keselamatan operasi penerbangan dan orang awam," tambahnya. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan