Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ranil Wickremesinghe dipilih sebagai presiden baru Sri Lanka

Anggaran Waktu Membaca:
Ranil Wickremesinghe dipilih sebagai presiden baru Sri Lanka

Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe semasa satu sesi wawancara bersama The Associated Press di Colombo, Sri Lanka, pada 11 Jun 2022. (Gambar fail: Eranga Jayawardena/AP Photo)

COLOMBO: Pemangku presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe akan mengambil alih sebagai presiden seterusnya negara tersebut sehingga 2024, menurut kiraan undi parlimen pada Rabu (20 Jul).

Keputusan rasmi menunjukkan Encik Wickremesinghe meraih 134 undi dalam undian tiga penjuru untuk menggantikan Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri dari negara dibelenggu krisis itu dan meletakkan jawatan minggu lalu.

Penentang utama Encik Wickremesinghe, Dullas Alahapperuma, meraih 82 undi manakala ahli politik berhaluan kiri, Anura Dissanayake, hanya menerima tiga undi - sekali gus memberikan Encik Wickremesinghe majoriti mutlak sebagai pilihan pertama.

Encik Wickremesinghe berkata beliau berharap untuk mengangkat sumpah jawatan pada lewat Rabu (20 Jul) dalam satu upacara ringkas di bangunan parlimen yang dikawal ketat.

"Ini adalah detik bersejarah, bukan sahaja untuk parlimen tetapi buat seluruh negara," kata Speaker Mahinda Abeywardana.

"Seluruh dunia sedang memerhatikan kami hari ini sedang kami melantik seorang presiden baru."

Encik Wickremesinghe, seorang peguam yang sudah berkhidmat selaku perdana menteri Sri Lanka untuk rekod enam kali, sebelum ini pernah bertanding bagi jawatan presiden buat dua kali tetapi tidak berjaya. Namun, beliau memperolehi cukup undi dalam kalangan penggubal dasar meskipun menguasai hanya satu kerusi - sebagai ketua Parti Nasional Bersatu.

Encik Wickremesinghe juga baru-baru ini berunding dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan menjalinkan hubungan kerja bersama negara-negara penyumbang utama seperti India.

Kemenangan Encik Wickremesinghe, yang ditentang ramai rakyat jelata Sri Lanka, mungkin mencetuskan lebih banyak tunjuk perasaan oleh penduduk yang marah dengan elit pemerintah setelah berbulan-bulan mengalami kekurangan bahan api, makanan serta ubat-ubatan yang teruk, menurut sesetengah pemberontak.

Calon utama lain, penggubal dasar parti pemerintah, Dullas Alahapperuma, lebih diterima dalam kalangan penunjuk perasaan serta parti pembangkang. Namun, beliau tetapi tidak mempunyai sebarang pengalaman mentadbir urus di peringkat atasan di negara yang hampir kekeringan dana untuk melakukan import dan sangat memerlukan jaminan IMF.
Sumber : AGENCIES/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan